Kerajaan Kelantan alu-alukan peruntukan Pusat, harap projek berjalan ikut jadual

Kerajaan negeri Kelantan mengalu-alukan peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk negeri itu.

Menteri Besarnya, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, kerajaan negeri berharap agar projek-projek infrastruktur utama yang menjadi keutamaan rakyat seperti pembinaan Lebuhraya Kota Bharu–Kuala Krai serta projek tebatan banjir dilaksanakan dengan teratur dan mengikut jadual sepanjang tahun 2026.

Ini termasuklah projek-projek yang telah diluluskan tetapi masih berstatus belum dimulakan melalui RMK terdahulu  demi kepentingan rakyat dan kemajuan negeri.

“Kerajaan negeri menzahirkan harapan agar lebih banyak projek baharu dalam sektor pertanian dan pelancongan dapat diberi perhatian di bawah fasa pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13).

“Ia memandangkan kedua-dua sektor ini mempunyai potensi besar untuk memacu pertumbuhan ekonomi negeri secara mampan.

“Kerajaan negeri amat mengalu-alukan peruntukan yang diumumkan kepada negeri Kelantan bagi memperkukuhkan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam Belanjawan 2026 semalam, Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan beberapa peruntukan penting ke arah memperkukuh pembangunan jangka panjang untuk negeri Kelantan. 

Antara projek baru yang menjadi keutamaan ialah naik taraf jalan sedia ada kepada jalan berkembar empat lorong di Rantau Panjang.

Menaik taraf landasan kereta api Pasir Mas – Rantau Panjang disamping projek naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

Projek jalan utama Kubang Kerian–Bachok dan Pasir Mas–Salor, Sistem Saliran Bandar Baru Tunjong, projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau Mukim Tiong dan Mukim Jelutong, serta Sistem Bekalan Air Luar Bandar di Pasir Mas. 

Turut memberi manfaat kepada negeri itu ialah projek Loji Rawatan Air Machang, pelaksanaan Program Non-Revenue Water (NRW) dan pelbagai inisiatif lain untuk kemakmuran rakyat.

BACA JUGA Ramai tak perasan poin penting ucapan PM semalam, semua dapat ‘duit poket’ tiap bulan?