Ini sebabnya GRS yakin terhadap kerjasamanya dengan PH
Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Ali yakin bahawa kerjasama antara GRS dan PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang akan menyelesaikan tuntutan 40 peratus hasil Sabah.
Keyakinan ini adalah bersandarkan kepada permuafakatan kerajaan negeri di bawah pimpinan GRS dan kerajaan persekutuan pimpinan PH.
Perlu diingatkan bahawa banyak tuntutan hak Sabah berada di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.
“Ada pihak tertentu yang bukan setakat tidak mahu bekerjasama tetapi mahu bergaduh dengan Kerajaan Persekutuan sedangkan kita juga adalah sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan itu (sebab) kita ada wakil.
“Jadi saya optimis, bersandarkan kepada apa? Kepada kepimpinan Kerajaan Persekutuan. Kita tengok nilai dan setakat ini kita melihat keterbukaan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Jentera Parti Gagasan Rakyat Sabah Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbahau di sini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Papar menegaskan, kepimpinan Perdana Menteri menunjukkan keterbukaan khususnya dalam isu semakan pemberian khas kepada Sabah.
“Salah satu contoh yang kita sebutkan ialah kalau dulu 45 tahun tidak disemak, ada orang semak tetapi bagi ciput (sedikit) sahaja.
“Tetapi beliau (Anwar) tingkatkan hari ini pada kadar RM600 juta. Adakah itu cukup? Belum cukup 40 peratus dan kita akan terus perjuangkan. Sekurang-kurangnya komitmen beliau adalah menyemak dan kadar itu jauh lebih tinggi daripada kadar yang diterima dulu,” tambah Armizan.
Tuntan 40 peritus hasil negeri juga ialah salah satu teras Utama GRS dalam manifesto PRN ke-17.
“Ya, itu akan tetap menjadi perkara asas kerana kita mahu jumlah ini akan terus dibincangkan.
“Komitmen kita ialah formula asal Sabah berbeza dengan Sarawak, dan formula 40 peratus ini adalah hasil kebijaksanaan pejuang kita terdahulu.
“Kalau kita abaikan atau ‘let go’ formula ini, itu satu pengkhianatan. Jadi kita akan terus perjuangkan,” katanya.
BACA JUGA: Kerajaan bela nasib sekolah pondok, umum bantuan segera baiki 137 pondok, tahfiz