Mahu faham Belanjawan 2026 dengan mudah? Kini anda boleh tanya AISSAH

AISSAH atau Artificial Intelligence Sungai Siput Actually Helps ialah bot sembang yang dibangunkan empat orang dari PKR cabang Sungai Siput.

Umum boleh bersembang berhubung Belanjawan 2026 di https://www.aimadani.com/

“Masyarakat umum kini tiada waktu untuk membaca belanjawan. Untuk memudahkan anda, anda boleh tanya apa saja berkaitan Belanjawan 2026 untuk memahami perancangan kerajaan untuk tahun depan,” kata Ketua Cabang PKR Sungai Siput Novinthen Krishnan kepada Harapan Daily.

Bot sembang ini dibangunkan berasaskan dokumen ucapan Belanjawan 2026 dan Anggaran Perbelanjaan Persekutuan dari Kementerian Kewangan.

“AISSAH boleh berborak dalam empat bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Inggeris, Tamil dan Mandarin. Bot sembang ini juga faham semua dialek yang digunakan oleh rakyat Malaysia,” tambahnya lagi.

Bot sembang ini mengambil tempoh seminggu mulai tahap rangka kerja dan pemuatan naik data untuk disiapkan.

“Buat masa ini kita berharap ia akan digunakan oleh pengamal media, para guru dan penyelidik untuk mendapatkan maklumat terperinci berhubung belanjawan memandangkan penggunaan AISSAH oleh umum adalah kurang.”

Novinthen bercadang membangunkan lebih banyak bot sembang pada masa akan datang yang boleh menyebar luaskan dasar kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

BACA JUGA: Belanjawan Bela Rakyat 2026: Kerajaan MADANI pilih tadbir urus telus bukan cukai baharu