Segerakan pendidikan seks: Ketua Biro Pendidikan WARDA
Ketua Biro Pendidikan WARDA, Nor Akira Fatiha Mansor mahu pendidikan seks disegerakan
Penegasan ini dibuat ekoran tularnya video empat pelajar Tingkatan 5 merogol seorang pelajar Tingkatan 3.
Ramai masih beranggapan bahawa pendidikan seks di sekolah membawa unsur lucah, sedangkan hakikatnya ia langkah proaktif untuk mendidik, melindungi dan membentuk kesedaran awal dalam kalangan pelajar terhadap bahaya gangguan serta jenayah seksual.
“Pendidikan seks yang menyeluruh perlu merangkumi pengetahuan tentang anatomi dan fisiologi badan, kesihatan reproduktif, hubungan sihat, sempadan persetujuan, keluarga sihat dan bahagia serta perlindungan daripada penyakit jangkitan seksual. Ia bukan satu perkara taboo, malahan menjadi keperluan utama dalam gelombang transformasi digital negara.
“Sekiranya maklumat ini tidak diberikan secara tepat di peringkat sekolah atau institusi, anak remaja akan mencarinya melalui internet, media sosial atau rakan sebaya di mana ia sumber yang tidak sahih lagi mengelirukan.
“Justeru, WARDA menegaskan bahawa pelaksanaan pendidikan seks formal yang holistik bukan lagi pilihan tetapi keperluan mendesak. Ia perlu dirangka dengan pendekatan ilmiah agar generasi muda mampu melindungi diri dalam dunia digital yang semakin mencabar.”
Beliau turut mempertahankan Menteri Pelajaran Fadhlina Seidek yang telah dituduh oleh sesetengah pihak sebagai punca keruntuhan moral pelajar.
“Masalah ini berpunca daripada sikap masyarakat yang masih takut dan malu berbicara tentang isu seks dan keselamatan tubuh.”
Dalam perkembangan berkaitan, keempat-empat pelajar Tingkatan 5 tersebut telah dibenarkan untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
BACA JUGA: Mahu faham Belanjawan 2026 dengan mudah? Kini anda boleh tanya AISSAH