AMANAH sambut baik Belanjawan 2026: Bukti komitmen Kerajaan MADANI perkasa pendidikan negara
Parti Amanah Negara (AMANAH) menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan terhadap masa depan pendidikan negara melalui peruntukan besar dalam Belanjawan 2026.
Menurut kenyataan Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat AMANAH, Azli Yusof, parti itu menyambut baik peruntukan RM66.2 bilion kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), meningkat daripada RM64.2 bilion tahun lalu, sebagai bukti komitmen berterusan kerajaan memperkukuh sistem pendidikan sebagai teras kemajuan negara bangsa.
Azli berkata, inisiatif kerajaan membina 38 sekolah baharu di seluruh negara dan menaik taraf lebih 520 sekolah daif, khususnya di Sabah, Sarawak dan luar bandar, jelas menunjukkan keazaman kerajaan menoktahkan isu ketidaksamaan antara wilayah pendidikan.
“Langkah ini akan mengurangkan kepadatan bilik darjah dan mempercepat akses pendidikan berkualiti kepada anak-anak di kawasan pesat membangun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
AMANAH turut menyanjung keputusan kerajaan menyalurkan RM5.6 bilion bantuan persekolahan, termasuk Bantuan Awal Persekolahan (BAP), Biasiswa Kecil Persekutuan dan Rancangan Makanan Tambahan, sebagai bukti pendekatan inklusif dan menyeluruh kerajaan dalam memastikan tiada anak Malaysia tercicir daripada sistem pendidikan.
Dalam masa sama, parti itu menyokong peruntukan RM18.6 bilion kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memperkukuh universiti awam, politeknik dan kolej komuniti, termasuk RM401 juta untuk penyelenggaraan prasarana dan penggantian peralatan usang.
Selain itu, AMANAH menyambut baik pelaksanaan pendidikan percuma PTPTN untuk 5,800 pelajar miskin serta pengecualian bayaran balik kepada 6,000 peminjam cemerlang daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana, sebagai pelaburan dalam mobiliti sosial anak muda Malaysia.
Azli turut memuji peningkatan peruntukan kepada bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada RM7.9 bilion, serta langkah kerajaan memperkasa pendidikan khas dengan pembinaan dua sekolah baharu dan kemudahan mesra OKU bernilai RM30 juta.
Dalam sektor pendidikan khas, AMANAH mengalu-alukan pembinaan dua sekolah baharu iaitu SMK Pendidikan Khas Kota Damansara di Selangor dan SMK Pendidikan Khas Pasir Mas di Kelantan serta serta pembangunan 35 blok tambahan bernilai sekitar RM700 juta.
Beliau berpendapat, inisiatif kerajaan menyediakan elaun OKU RM150 sebulan kepada 150,000 murid (RM270 juta) dan kemudahan mesra OKU (RM30 juta) memperlihatkan keadilan sosial sebenar yang dipelopori oleh Kerajaan Madani.
“Keutuhan dasar ini mesti diterjemahkan melalui pelaksanaan yang cekap, telus dan berfokus kepada hasil, agar manfaat peruntukan benar-benar sampai kepada sekolah luar bandar, pelajar miskin, anak Orang Asli dan komuniti marginal,” tegasnya.
AMANAH menegaskan komitmen untuk terus memantau serta menyokong pelaksanaan dasar pendidikan di bawah Belanjawan 2026 agar setiap peruntukan memberi impak maksimum kepada rakyat.
“Dengan iltizam kerajaan dan sokongan rakyat, kita mampu melahirkan generasi muda Malaysia yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing di pentas dunia,” kata Azli lagi.
BACA JUGA Tiada yang kebal di sisi undang-undang, integriti tonggak Malaysia MADANI