Tiada yang kebal di sisi undang-undang, integriti tonggak Malaysia MADANI
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen kerajaan untuk terus memperkukuh tadbir urus serta memastikan setiap langkah pentadbiran berpaksikan integriti dan ketelusan, selaras dengan semangat Malaysia Madani yang beliau terajui.
Berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya hari ini, Anwar menekankan bahawa setiap pengalaman dan cabaran yang dilalui kerajaan menjadi sumber kematangan dan kebijaksanaan dalam memperbaiki sistem pentadbiran negara.

“Kita belajar daripada kesilapan, kita dengar suara rakyat, dan kita berani melakukan perubahan kerana tujuan kita jelas, memperkukuh tadbir urus, membanteras ketirisan, menentang rasuah serta mengekang penyeludupan yang merugikan negara,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menyatakan sokongan padu kepada semua agensi penguat kuasa yang bertindak tegas tanpa gentar terhadap salah laku dan penyelewengan.
“Jangan takut dengan tekanan, jangan tunduk pada kuasa. Tiada sesiapa yang kebal di sisi undang-undang.
“Integriti mesti kekal sebagai nadi dan roh dalam setiap perkhidmatan awam,” ujarnya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menekankan bahawa kejayaan negara tidak hanya bergantung pada ilmu dan kepakaran, tetapi berpaksikan nilai moral serta prinsip etika yang tinggi dalam kalangan penjawat awam.
“Kekuatan negara lahir daripada jiwa yang bersih dan hati yang jujur. Marilah kita bekerja dengan tekad dan amanah demi Malaysia yang bersih, berintegriti dan bermaruah,” kata Perdana Menteri lagi.
BACA JUGA Belanjawan 2026 perkukuh ekonomi nelayan, buka peluang baharu untuk anak muda