Belanjawan 2026 perkukuh ekonomi nelayan, buka peluang baharu untuk anak muda
Belanjawan 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai bukti bahawa langkah konsolidasi fiskal boleh dilaksanakan tanpa menekan rakyat atau menjejaskan bantuan kepada isi rumah.
Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH) merangkap Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil, berkata belanjawan kali ini mengimbangi disiplin fiskal dan perlindungan sosial dengan memberi tumpuan kepada dua kumpulan penting iaitu komuniti nelayan dan generasi muda.
“Belanjawan ini menunjukkan kemajuan ekonomi dan kebajikan rakyat boleh dicapai serentak tanpa meminggirkan mana-mana golongan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, sektor perikanan terus mendapat perhatian di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melalui beberapa inisiatif Utama.
Ia termasuk pengekalan harga diesel bersubsidi RM1.65 seliter untuk nelayan, elaun sara hidup sehingga RM300 sebulan, serta insentif hasil tangkapan berjumlah RM160 juta.
Beliau berkata, kerajaan turut memperuntukkan RM500 juta bagi membaik pulih 380 rumah nelayan daif sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kualiti hidup komuniti nelayan di seluruh negara.
“Inisiatif ini bukan sekadar kebajikan, tetapi satu langkah memperkukuh martabat dan taraf hidup nelayan,” katanya.
Dalam masa sama, Faiz memuji pendekatan kerajaan yang tidak membezakan negeri dalam pelaksanaan dasar sosial, termasuk di Kelantan dan Terengganu di bawah pentadbiran pembangkang.
Beliau turut menyambut baik langkah kerajaan memperluas galakan cukai automasi sektor pertanian yang melibatkan industri akuakultur dan perikanan laut dalam, serta peruntukan RM20 juta bagi menaik taraf vesel untuk mengurangkan kebergantungan kepada tekong asing dan mempromosikan kaedah penangkapan ikan yang lebih lestari.
Selain itu, beliau turut menggariskan pelbagai inisiatif dalam Belanjawan 2026 yang memberi tumpuan kepada pembangunan anak muda.
Antaranya, termasuk program K-Youth oleh Khazanah Nasional bernilai RM200 juta bagi memberi latihan sambil bekerja kepada 11,000 belia dalam sektor strategik seperti semikonduktor, jentera, digital dan teknologi.
Bagi pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, kerajaan bersama syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLC) menyediakan RM4.4 bilion untuk biasiswa, pinjaman dan elaun pendidikan, selain potongan cukai dua kali kepada syarikat yang menawarkan biasiswa kepada pelajar berkelayakan.
Dari segi keusahawanan, Bank Simpanan Nasional (BSN) memperuntukkan RM150 juta untuk pembiayaan usahawan belia bawah 30 tahun, manakala SME Corp menyediakan RM12 juta di bawah Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE).
Program Industrial Boot Camp (IBC) anjuran MARA juga diteruskan dengan peruntukan RM30 juta bagi melatih lebih ramai belia dengan jaminan pekerjaan.
“Belanjawan ini memperlihatkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkasa ekonomi rakyat, memperkukuh sektor perikanan, dan menyediakan masa depan cerah untuk anak muda,” kata Faiz.
BACA JUGA Belanjawan 2026 perkukuh ekonomi nelayan, buka peluang baharu untuk anak muda