Janji RM500 sebulan PN tidak realistik, bakal bebankan negara

Kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang berjanji akan memberi RM500 sebulan kepada rakyat memerlukan jika Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan dilihat sebagai tidak realistik dan tidak disertai pelan kewangan yang jelas.

Pemerhati politik, Najib Bakar berpendapat Hamzah gagal menjelaskan sumber dana untuk membiayai janji tersebut sama ada melalui langkah penjimatan, pewujudan industri baharu atau sekadar menggunakan idea Ahli Parlimen Machang sebelum ini iaitu mencetak wang.

“Berdasarkan data 2022, terdapat 3.16 juta isi rumah dalam kalangan B40.

“Ini bermakna PN perlu menyediakan RM1.58 bilion sebulan atau RM18.96 bilion setahun untuk melaksanakan cadangan itu.

“Dari mana dana sebanyak itu mahu diperoleh?” tempelaknya menerusi hantaran di media sosial beliau.

Najib turut menyindir janji Hamzah yang membandingkan cadangan RM500 sebulan itu dengan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bernilai RM100 yang kini diagihkan kepada 22 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas.

“Kalau ikut logik beliau, lebih baiklah beri terus RM500 kepada semua 22 juta rakyat. Tak banyak mana pun, RM11 bilion sebulan atau RM132 bilion setahun. Print sajalah duit banyak-banyak, kan?” katanya secara sinis.

Beliau memberi amaran bahawa langkah mencetak wang secara berlebihan boleh menyebabkan inflasi melampau seperti yang berlaku di Zimbabwe, apabila pada tahun 2008, satu dolar Amerika bersamaan dengan 25 juta dolar Zimbabwe.

“Dengar memang ‘sedap’, RM500 sebulan. Tapi silap-silap nilai RM500 yang dijanjikan nanti cuma bernilai RM5 sahaja,” tegas Najib.

Aktivis politik itu turut berkata, janji manis tanpa asas ekonomi kukuh hanya akan memperdaya rakyat, sedangkan kesannya boleh menghancurkan kestabilan kewangan negara dan menjejaskan kesejahteraan jangka panjang rakyat.

BACA JUGA Tukarkan ke Pasti, patutlah guru berbaki 10 tahun perkhidmatan ini dikecam