Kes pelajar ditikam di sekolah: MB Selangor tidak dapat bayangkan situasi dialami ibu apa mangsa
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari mengakui sebagai seorang ayah yang turut mempunyai anak perempuan tidak dapat membayangkan situasi yang sedang dilalui oleh ibu bapa mangsa.
Itu reaksi beliau susulan kejadian tragis melibatkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat maut ditikam pelajar lelaki Tingkatan Dua di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Utama Damansara (4), Petaling Jaya pagi tadi.
Susulan itu, Amirudin berkata, kerajaan Selangor akan memberi keutamaan kepada usaha mempertingkat tahap keselamatan di semua sekolah di negeri tersebut.
Untuk rekod, Selangor mempunyai sekurang-kurangnya 663 buah sekolah rendah termasuk pra-sekolah dan 278 buah sekolah menengah.
Mengulas lanjut, Amirudin memberitahu beliau telah berhubung dengan Ketua Polis Selangor yang mengesahkan siasatan sedang dijalankan dan menjelaskan bahawa kes menggemparkan itu tidak melibatkan sebarang unsur perkauman.
“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan semoga mereka diberikan kekuatan serta perlindungan dalam menghadapi tragedi ngeri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan bahawa pihak polis akan meneruskan siasatan bagi mengenal pasti elemen jenayah dalam kes tersebut dan akan memaklumkan perkembangan kepada orang ramai dari semasa ke semasa.
Beliau menegaskan, sekolah harus menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak dan kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pendidikan serta komuniti setempat bagi memperkukuh keselamatan di semua sekolah.
“Perkara ini akan menjadi keutamaan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
“Beberapa langkah termasuk usaha keselamatan dan sokongan kesihatan mental pelajar akan diputuskan segera bagi menjamin keselamatan semua anak-anak kita di sekolah,” kata Amirudin lagi.
Dalam perkembangan terbaharu, suspek dari sekolah sama ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Polis mengesahkan tiada unsur buli dalam kejadian yang berlaku di tandas perempuan di sekolah tersebut.
BACA JUGA PM Anwar jawab isu Malaysia tidak sertai Sidang Kemuncak Keamanan Gaza