PM Anwar jawab isu Malaysia tidak sertai Sidang Kemuncak Keamanan Gaza

Perdana Menteri berkata, Malaysia tidak dijemput ke Sidang Kemuncak Keamanan Gaza di Mesir semalam selepas Putrajaya memutuskan untuk memberi sokongan bersyarat kepada pelan damai dibawa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa sidang kemuncak antarabangsa di Sharm el-Sheikh itu adalah anjuran AS, justeru hanya negara yang menyokong penuh pelan 20 perkara Trump diajak menyertainya.

“Malaysia tidak termasuk (dalam senarai jemputan) kerana kita memberikan sokongan bersyarat.

“Antara syarat yang kita tetapkan (oleh Malaysia) termasuklah mesti bawa balik rakyat Palestin yang diusir keluar sebelum ini, dan beberapa syarat terkait hak Palestin untuk wujud sebagai sebuah negara.

“Syarat-syarat ini tidak termasuk dalam 20 perkara (yang ditetapkan oleh Trump),” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri hari ini.

Untuk rekod, sidang kemuncak berkenaan Gaza itu dihadiri lebih 20 pemimpin dunia termasuk Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi selaku tuan rumah.

Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan bahawa Putrajaya turut menetapkan beberapa syarat lain termasuk terkait kekejaman yang dilakukan oleh rejim Zionis serta tindakan penjajahan ke atas Tebing Barat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Shahidan Kassim (PN – Arau) berhubung isu Palestin.

Semalam, Trump tiba di Sharm el-Sheikh untuk menyertai pemimpin-pemimpin dunia di sidang kemuncak tersebut serta menandatangani perjanjian pelan damai Gaza.

BACA JUGA Buli di sekolah terus meningkat, 7,681 kes dicatat tahun lalu