Kes pelajar maut ditikam: Pentadbir sekolah dipindahkan

Pentadbir di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya akan dipindahkan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sehingga siasatan berkaitan pembunuhan seorang pelajar perempuan 16 tahun selesai dijalankan.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata demikian dalam sidang media khas di Putrajaya sebentar tadi.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan (KPM) juga sedang bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memperkukuh pemantauan di semua sekolah.

“PDRM akan memaklumkan langkah-langkah keselamatan tambahan yang akan dilaksanakan bagi memastikan kawasan sekolah benar-benar selamat untuk pelajar.

“Ini termasuk dengan meningkatkan kawalan di sekolah,” katanya.

Beliau turut memberitahu bahawa sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan untuk menyiasat kes yang berlaku jam 9.10 pagi tadi itu secara tuntas, telus dan adil.

Selain itu, tambahnya, guru bimbingan kaunseling telah digerakkan bagi melaksanakan program intervensi, sokongan psikososial kepada murid, guru dan seluruh warga sekolah yang terkesan.

Pagi tadi, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun dilapor maut selepas dipercayai ditikam beberapa kali seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun.

Kejadian di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya sekitar jam 9.30 pagi itu berlaku di luar bilik darjah berhampiran kawasan tandas perempuan.

Polis turut merampas dua senjata tajam dipercayai digunakan oleh suspek yang juga seorang pelajar Tingkatan 1, Kelas Peralihan itu.

Siasatan awal mendapati terdapat beberapa tikaman di bahagian badan mendiang.

BACA JUGA Kes pelajar ditikam di sekolah: MB Selangor tidak dapat bayangkan situasi dialami ibu apa mangsa