Malaysia tidak akan berdiam diri terhadap kezaliman di Gaza

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia tidak akan tunduk kepada tatanan dunia yang pincang serta kehilangan arah dalam mempertahankan nilai keadilan dan kemanusiaan sejagat.

Dalam kenyataan di media sosial rasminya hari ini, beliau menyifatkan dunia kini sedang diuji dengan kemerosotan nilai kemanusiaan, manakala institusi antarabangsa yang dahulunya menjadi tempat sandaran semakin lemah dan gagal memainkan peranan sewajarnya.

“Malaysia memilih untuk tidak tunduk kepada tatanan dunia yang pincang, tetapi mesti tampil dengan sikap serta iltizam baharu dalam memperjuangkan order dunia yang berasaskan nurani dan prinsip kemanusiaan sejagat,” kata beliau.

Dalam masa sama, Anwar menegaskan Malaysia menolak sebarang bentuk penjajahan moden dan penindasan atas nama kuasa serta kepentingan politik.

Menyentuh isu Gaza, Perdana Menteri berkata, Malaysia tidak akan berdiam diri terhadap kezaliman yang berlaku dan akan terus bersuara atas dasar keyakinan moral serta prinsip kemanusiaan.

“Dalam menyuarakan pendirian mengenai Gaza, kita sedar bahawa bungkam bererti mengakui persekongkolan. Malaysia tidak mahu menjadi penonton kepada kehancuran dan kezaliman,” tegasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa keamanan sejagat tidak hanya bermaksud gencatan senjata semata-mata, tetapi perlu menjadi kebangkitan kepada maruah dan hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan mereka sendiri.

Anwar menambah, Malaysia akan terus mengangkat dasar active non-alignment, iaitu dasar bebas yang tidak berkecuali tanpa pendirian, tetapi berpegang kepada prinsip kemanusiaan sejagat.

“Ini wajah Malaysia Madani yang berani bersuara, teguh dengan nilai, dan yakin bahawa menjelmakan dunia yang adil serta manusiawi bukanlah utopia, tetapi tanggungjawab moral bersama untuk menolak kezaliman dan penindasan,” kata Perdana Menteri lagi.

Genosid dilakukan zionis Israel di Gaza menyaksikan sekurang-kurangnya 67,869 penduduk terkorban manakala ribuan lagi syahid di bawah runtuhan bangunan yang dibom rejim.

Perjanjian gencatan senjata telah dimeterai selang beberapa jam selepas Hamas dan Israel saling bertukar tebusan dan tahanan.

Hamas semalam, membebaskan 20 tebusan terakhir yang masih hidup selepas dua tahun ditahan di Gaza dengan tindakan itu adalah sebahagian daripada rancangan menamatkan perang di Gaza dikemukakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Sebagai pertukaran, Israel turut membebaskan 1,968 tahanan, kebanyakannya warga Palestin yang ditahan di penjara, seperti dilaporkan perkhidmatan penjaranya

BACA JUGA Tukarkan ke Pasti, patutlah guru berbaki 10 tahun perkhidmatan ini dikecam