AMANAH: Tindakan drastik, tegas dan holistik diperlukan untuk kekang isu disiplin pelajar sekolah

Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat AMANAH menggesa agar tindakan drastik, tegas dan holistik diambil untuk menangani hakisan disiplin pelajar dan jenayah yang melibatkan semua pihak

“AMANAH melihat tragedi ini bukan sekadar isu disiplin pelajar, tetapi petanda jelas bahawa sistem pendidikan dan sosial kita sedang berdepan krisis kemanusiaan dan kehilangan empati, yang menuntut tindakan menyeluruh melibatkan semua pihak — kerajaan, sekolah, ibu bapa, dan masyarakat,” kata pengerusi biro Azli Yusof yang juga Ahli Parlimen Shah Alam.

Beliau berkata demikian ekoran kes rogol beramai – ramai membabitkan pelajar Tingkatan 5 ke atas seorang pelajar Tingkatan 3 di Melaka dan satu lagi kes pembunuhan tragik di sebuah sekolah di Damansara.

Azli berkata satu penilaian semula ke atas keseimbangan pencapaian akademik, pembinaan sahsiah, disiplin dan tanggungjawab social pelu dibuat.

Beliau turut menjelaskan peranan yang perlu dimainkan oleh semua pihak untuk mengekang kes – kes tragik daripada terus berlaku.

“Pihak sekolah dan Kementerian Pendidikan perlu memperkukuh peranan guru kaunseling, disiplin dan psikologi pelajar, serta memastikan saluran aduan dan sokongan emosi kepada pelajar berfungsi dengan berkesan dan selamat.

“AMANAH menyokong pelaporan jujur dan tepat oleh pihak pentadbir sekolah terhadap apa juga kes buli dan jenayah, seperti yang dinyatakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan bahawa jangan ada yang menyorokkan maklumat di bawah karpet semata-mata untuk menjaga nama baik sekolah. Kejujuran dan ketelusan adalah asas utama dalam menangani isu keselamatan pelajar.

“Dalam masa sama, AMANAH menyeru agar pendidikan di rumah perlu dipulihkan sebagai benteng pertama pembentukan nilai. Ibu bapa mesti memainkan peranan aktif dalam membimbing, mendengar, dan memantau tingkah laku serta aktiviti anak-anak, terutama dalam dunia maya.

“AMANAH menyarankan supaya kerjasama erat antara ibu bapa dan pihak sekolah diperkukuh — bukan sekadar dalam bentuk mesyuarat PIBG, tetapi sebagai rakan strategik dalam usaha membentuk karakter dan keselamatan pelajar.

“Sehubungan dengan itu, AMANAH berpandangan bahawa kerajaan perlu menilai semula dasar sokongan sosial dan komuniti, termasuk menyediakan program intervensi awal bagi pelajar berisiko, sokongan kesihatan mental, dan bimbingan keluarga bagi mengelak gejala sosial yang semakin membimbangkan.”

BACA JUGA: Kes pelajar maut ditikam: Pentadbir sekolah dipindahkan