Bersatu dah lama umum calon, Hadi pula kata ‘rahsia’- DAP persoal calon PM PN

Ahli Parlimen Kota Melaka dari DAP, Khoo Poay Tiong mempersoal sama ada Perikatan Nasional (PN) benar-benar sudah mempunyai calon Perdana Menteri atau belum.

Ini kerana katanya, terdapat percanggahan kenyataan antara Pas dan Bersatu berhubung perkara itu.

Di satu pihak, Bersatu sebelum ini telah menamakan Tan Sri Mahiaddin Md Yassin sebagai calon Perdana Menteri, namun Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pula ketika di Dewan Rakyat hari ini mendakwa mereka masih belum menamakan calon atas alasan keselamatan.

Khoo berkata, percanggahan itu menimbulkan persoalan sama ada gabungan berkenaan benar-benar sepakat dalam menentukan calon Perdana Menteri.

“Hari ini Presiden Pas, Hadi Awang mengatakan bahawa Pas tidak menamakan calon Perdana Menteri atas faktor keselamatan kerana risau akan perbuatan khianat. 

“Walhal, pada bulan lalu Bersatu sudah menamakan Mahiaddin sebagai calon Perdana Menteri kesebelas daripada Bersatu. 

“Justeru, saya tertanya-tanya tentang kedudukan sebenar calon Perdana Menteri daripada pembangkang sama ada kesemua parti dalam PN sudah sepakat menentukan calon Perdana Menteri mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut mempersoalkan kenyataan bercanggah antara Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Hadi Awang yang menurutnya masih lagi berahsia serta berdolak-dalik dalam isu ini. 

Khoo berkata, kenyataan Hamzah di Parlimen sebelum ini bahawa semua Ahli Parlimen pembangkang sudah mengetahui calon Perdana Menteri PN, bercanggah dengan penjelasan Hadi yang mendakwa perkara itu masih dirahsiakan.

“Apakah kenyataan-kenyataan daripada kedua-dua pemimpin ini adalah satu cubaan bagi menyorokkan krisis kepimpinan yang sedang dialami pembangkang terutama sekali melibatkan calon Perdana Menteri mereka sendiri?”, soal beliau.

Tambahnya, kemelut itu turut diburukkan dengan tindakan tatatertib terhadap dua pemimpin Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang kini memperlihatkan pergolakan dalaman parti berkenaan.

Khoo berpandangan, ketidaksefahaman dan percanggahan pandangan mengenai calon Perdana Menteri hanya akan melemahkan keyakinan rakyat terhadap PN, apatah lagi untuk mempercayai janji mereka seperti pemberian bantuan tunai sehingga RM6,000 setahun sekiranya menjadi kerajaan.

BACA JUGA Danial ajak semua sayap pemuda termasuk pembangkang duduk semeja bincang isu pendidikan