Cadangan bantuan RM500 PN retorik, kata Setpol Menteri Kewangan
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, cadangan Perikatan Nasional (PN) mahu memberi bantuan tunai sebanyak RM500 sebulan kepada rakyat adalah tidak berasas dan retorik.
Beliau berkata, rakyat perlu berhati-hati dengan kenyataan sedemikian dan bersikap realistik terhadap kemampuan kewangan negara.
Menurut beliau, ketika PN mentadbir kerajaan sebelum ini, mereka juga tidak berbuat demikian, malah membiarkan rakyat mengeluarkan duit sendiri daripada dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Rakyat perlu berhati-hati dengan kenyataan sedemikian dan bersikap realistik terhadap kemampuan kewangan negara.
“Ketika beliau (Hamzah Zainudin) mempunyai kuasa, perkara itu tidak dilaksanakan.
“Sekarang apabila sudah tiada kuasa, barulah kenyataan seperti ini dikeluarkan,” katanya selepas merasmikan Karnival Usahawan Muda ASEAN ke-10 di Pusat Pameran dan Konvensyen Perbadanan Pembangunan Luar Malaysia (Matrade) hari ini.
Muhammad Kamil berkata, jumlah bantuan tunai yang disalurkan kerajaan kini jauh lebih tinggi berbanding dua hingga tiga tahun lepas.
Sebagai contoh, kerajaan PN sebelum ini menawarkan bantuan maksimum RM2,000, manakala Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kini membolehkan isi rumah menerima hingga RM4,600.
BACA JUGA Bersatu dah lama umum calon, Hadi pula kata ‘rahsia’- DAP persoal calon PM PN