Belanjawan 2026: Pengecualian duti setem permudah pemilikan rumah pertama untuk golongan muda

OLEH A. ZAHID

Belanjawan 2026 menandakan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan pembangunan negara diterjemahkan secara nyata kepada kesejahteraan rakyat.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah pimpinan Nga Kor Ming menerima peruntukan sebanyak RM6.088 bilion, dengan janji bahawa setiap sen akan dibelanjakan secara berhemah untuk manfaat langsung kepada rakyat.

Fokus kementerian kali ini tertumpu kepada empat sektor utama iaitu perumahan, kerajaan tempatan, kesejahteraan komuniti dan perkhidmatan kebombaan.

Sebanyak 12 inisiatif utama digerakkan, termasuk Program Penyelenggaraan Perumahan Berstrata Awam dan Swasta (RM143 juta), Program Residensi Rakyat dan Rumah Mesra Rakyat (RM672 juta) serta Pengecualian Duti Setem bagi Pembelian Rumah Pertama.

Langkah ini jelas memperlihatkan tekad kerajaan menjadikan pemilikan rumah lebih mudah dicapai, terutama bagi golongan muda dan berpendapatan sederhana.

Selain itu, pelanjutan Skim Jaminan Kredit Perumahan (RM10 bilion) akan membuka ruang kepada lebih ramai rakyat tanpa pendapatan tetap untuk memiliki rumah.

Di peringkat komuniti pula, peruntukan bagi pembinaan gerai, menaik taraf pasar awam (RM60 juta) dan baik pulih tandas awam (RM95 juta) membawa mesej jelas bahawa kesejahteraan rakyat tidak hanya diukur melalui angka ekonomi, tetapi melalui kualiti hidup seharian.

Tumpuan kepada naik taraf longkang dan parit (RM55 juta) turut menggambarkan pendekatan praktikal kerajaan dalam mengurangkan risiko banjir kilat di kawasan bandar yang merupakan satu isu yang sering menjadi rungutan masyarakat.

Lebih daripada sekadar angka, peruntukan besar kepada KPKT mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap keupayaan kementerian dalam memperkukuh persekitaran hidup yang mampan dan inklusif.

Belanjawan ini turut menegaskan nilai akauntabiliti dan integriti dalam setiap pelaksanaan dasar, selaras dengan semangat Malaysia MADANI yang menekankan ketelusan dan kepercayaan sebagai asas kemajuan negara.

Akhirnya, kejayaan belanjawan ini bergantung pada sejauh mana inisiatif yang dirancang benar-benar sampai kepada rakyat. Ia bukan hanya di atas kertas, tetapi dirasai dalam kehidupan seharian mereka.

BACA JUGA Mufti Perlis puji keterbukaan dan rendah diri Menteri Sumber Manusia Steven Sim