Mahathir, Pas, bekas pemimpin ‘dikutip’ Bersatu bermesyuarat atas nama Melayu

Tun Dr Mahathir Mohamad mempengerusikan Mesyuarat Pimpinan Tertinggi Sekretariat Orang Melayu (PTSOM) kali pertama di Yayasan Kepimpinan Perdana pada petang semalam.

Mesyuarat itu dikatakan “dibantu” oleh dua Penasihat PTSOM, Tan Sri Mahiaddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang masing-masing Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Presiden Pas.

Menurut bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik yang kini Pengerusi Yayasan Penggerak Wawasan, keahlian PTSOM terdiri daripada “tokoh-tokoh penting” Perikatan Nasional (PN).

Turut menganggotai kumpulan itu, kata Abdul Rahim, adalah “pengerusi parti-parti politik Melayu yang lebih kecil, pemimpin-pemimpin terkemuka dari NGO-NGO Melayu serta tokoh-tokoh individu yang berpengaruh”.

Menerusi perkongsian gambar Abdul Rahim dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, rata-rata anggota mesyuarat itu adalah bekas pemimpin UMNO dan PKR yang ‘dikutip’ masuk ke dalam Bersatu.

Antaranya, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Tan Sri Noh Omar yang menyertai parti bunga raya itu secara rasmi pada 5 Julai 2024 selepas keahliannya dipecat daripada UMNO.

Turut kelihatan bekas pemimpin PKR yang juga keluar dari Bersatu sejak Mei 2022, Datuk Zuraida Kamaruddin. Kini, bekas Ahli Parlimen Ampang itu merupakan Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Kelibat Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali serta bekas Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah juga dilihat hadir dalam mesyuarat di Putrajaya itu.

Untuk rekod, Mahathir pada satu di sisi dilihat bukan penyatu Melayu sebaliknya punca perpecahan politik Melayu apabila dikaitkan dengan perpecahan dalaman UMNO sehingga membawa kepada pengharaman UMNO pada 1988.

Pemimpin berusia 100 tahun berkenaan juga menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 2016 selepas keluar UMNO.

Pada 2020, Mahathir mengasaskan penubuhan Pejuang seterusnya pada 2023, beliau dikaitkan dengan gagasan Putra serta Gerakan Tanah Air (GTA).

Dia juga menyebabkan Pakatan Harapan (PH) kehilangan kerajaan apabila meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu pada 24 Februari 2020 sekaligus seluruh Kabinet automatik terbubar.

BACA JUGA Tukarkan ke Pasti, patutlah guru berbaki 10 tahun perkhidmatan ini dikecam