Melimpah ruah Masjid Putra penangan Kuliah Subuh MADANI walau hari bekerja
Mengejutkan apabila Masjid Putra di Putrajaya dihadiri jemaah yang melimpah ruah sempena Kuliah Subuh MADANI pagi tadi.
Walaupun pada hari bekerja, kehadiran dilaporkan mencecah kira-kira 10,000 jemaah, menurut BH.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama jemaah menunaikan solat Subuh dengan diimamkan oleh Ustaz Abdul Karim Zakaria.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Zamri Zainal Abidin turut merakamkan detik-detik bermakna itu.
“Sungguh Engkau yang maha menentukan dan yang menunjukkan kebaikan itu kepada negara kami ya Allah.
“Kuliah Subuh MADANI pada hari bekerja tetapi kehadiran hamba-hamba-Mu ke Masjid Putra melimpah ruah bersama pemimpin tertinggi dikasihi YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan-pimpinan negara.
“Inilah ni’mat iman dan mahabbah kurniaan-Mu Ya Allah,” tulisnya menerusi Facebook beliau.

Kuliah Subuh berkenaan disampaikan oleh ulama terkemuka dari Yaman, Al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim Ben Hafez dengan membacakan kitab Qomi’ Al-Thugyan ala Manzumah Syu’abil Iman.
Kitab karangan Sheikh Muhammad Nawawi bin Umar Al-Bantani itu membicarakan 77 cabang iman merangkumi aspek akidah, akhlak dan syariah.
Perdana Menteri kemudiannya menyerahkan naskhah Mushaf Tarim Riwayat ad-Duri ‘an Abi Amr wa al-Basr kepada Al-Habib Umar.
Penyerahan itu juga sebagai tanda sempurnanya projek 1 Juta al-Quran, yang diilhamkan sendiri oleh Perdana Menteri.
Mushaf tersebut adalah hasil kerjasama Kerajaan Malaysia, Yayasan Restu, dan Nasyrul Quran di bawah naungan Perdana Menteri, bersama Darul Mustafa, Yaman yang dipimpin Al-Habib Umar.
BACA JUGA Mahathir, Pas, bekas pemimpin ‘dikutip’ Bersatu bermesyuarat atas nama Melayu