Pas takut umum calon PM kerana mahu sembunyi krisis dengan Bersatu
AMANAH menganggap alasan Pas tidak mahu mendedahkan calon Perdana Menteri mereka atas “faktor keselamatan” adalah kerana parti itu sebenarnya tidak berani menamakan sebarang calon kerana sedang berbalah dengan Bersatu.
Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, Bersatu sudah menamakan Tan Sri Mahiaddin Md Yassin, tetapi Pas masih mahu menonjolkan diri sebagai abang besar dalam Perikatan Nasional (PN).
“Daripada mengaku mereka tak sepakat, lebih mudah cipta alasan konon ada “risiko calon dijebak dengan jongkong emas atau dadah”.
“Lucunya, mereka yang berkhutbah tentang kejujuran pun kini pandai berdrama seperti filem aksi,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas jawapan Hadi Awang di Dewan Rakyat bahawa Pas tidak menamakan calon perdana menteri atas faktor keselamatan kerana khuatir akan perbuatan khianat.
Hadi berkata, jika didedah lebih awal siapa calon Perdana Menterinya, beliau bimbang berlaku hal seperti disogok jongkong emas, diletak dadah dalam kereta dan sebagainya sehingga tidak boleh bertanding atas sebab-sebab yang berlaku.
Sementara itu menurut Mahfuz, alasan “risiko keselamatan” itu hanyalah cubaan menutup perpecahan dan ketidaksepakatan yang semakin jelas.
Hakikatnya kata beliau, Pas bukan takut calon mereka diserang, tetapi mereka takut rahsia pertelingkahan dengan Bersatu terbongkar.
“Dulu Pas pernah menamakan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon Perdana Menteri. Tak pula masa itu ada ancaman keselamatan. Jadi jelas, bukan calon mereka yang tak selamat, tetapi politik mereka sendiri yang sedang tenat,” katanya lagi.
BACA JUGA Melimpah ruah Masjid Putra penangan Kuliah Subuh MADANI walau hari bekerja