Terkini PRN Sabah 29 November

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia menetapkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan berlangsung pada 29 November.

Manakala hari penamaan calon pula ditetapkan pada 15 November.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun dalam sidang medianya berkata, pengundian awal ditetapkan pada 25 November.

“SPR telah mengadakan Mesyuarat Khas pada hari ini dan memutuskan Pilihan Raya Negeri Dewan Undangan Sabah Ke-17 hendaklah diadakan bagi mengisi kekosongan 73 kerusi Dewan Undangan tersebut,” katanya.

Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 15 November sehingga pukul 11.59 malam, 28 November.

Bagi menjalankan proses PRN Dewan Undangan Sabah Ke-17, SPR telah melantik 25 orang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu oleh 196 orang Penolong Pegawai Pengurus.

Manakala bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR akan menubuhkan 86 Pasukan Peenguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang turut dianggotai oleh wakil-wakil daripada pihak Polis Diraja Malaysia
(PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding.

Para pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di
talian 03-8892 7018 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

Waktu operasi Hotline SPR adalah dari 8:00 pagi hingga 8:00 malam setiap hari.

Semakan boleh dibuat juga mulai 1 November 2025 (Sabtu)

    BACA JUGA PM hadiri kuliah Subuh Madani bersama Habib Umar Hafidz di Masjid Putra