Berita baik STR Fasa 4 akan mula dibayar mulai esok

Bayaran Fasa 4 Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan dikreditkan lebih awal bermula esok, berbanding jadual asal pada pertengahan November, umum Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Seramai 8.8 juta penerima yang mempunyai akaun bank akan terus dikreditkan ke dalam akaun bermula 18 hingga 24 Oktober ini.

Bagi penerima baharu dan rayuan sama ada mempunyai akaun bank atau tidak, mereka akan menerima bayaran pada 13 November ini.

“Diharapkan penyaluran Fasa 4 STR 2025 ini sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan kewangan menjelang sambutan Deepavali,” kata Perdana Menteri dalam kenyataan.

Anwar berkata, tekad Kerajaan MADANI adalah untuk memastikan bantuan yang melibatkan agihan limpahan negara ini dapat dimanfaatkan oleh segenap lapisan rakyat Malaysia.

Jumlah penerima Fasa 4 meningkat 500,000 individu susulan keputusan kerajaan untuk membuka permohonan baharu dan rayuan sepanjang tahun.

Kerajaan akan terus membuka pendaftaran STR dan SARA 2026 sepanjang tahun agar lebih ramai rakyat berpeluang mendapat manfaat daripada bantuan.

Sementara itu, Kementerian Kewangan dalam kenyataan yang sama memaklumkan, kerajaan memperuntukkan RM2 bilion dengan kadar bayaran sehingga RM700 yang ditetapkan mengikut kategori.

Jumlah ini termasuk 200,000 pemohon baharu yang telah diluluskan bayaran Fasa 4 STR, yang mana penyaluran akan dibuat mulai 13 November 2025.

BACA JUGA Perguna nama JHEAIPP, sindiket kutip derma khairat oleh warga asing terbongkar