Perguna nama JHEAIPP, sindiket kutip derma khairat oleh warga asing terbongkar

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) berjaya membongkar kegiatan seorang warga asing yang menggunakan surat kebenaran palsu kononnya ditandatangani Pengarah JHEAIPP untuk mengutip derma khairat.

Warga asing itu menjalankan sindiket penipuan di pasar-pasar malam dan pasar raya di seluruh negeri Pulau Pinang.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAIPP, Muhamad Helmi Rosley, berkata pihaknya telah melakukan risikan selama sebulan sebelum akhirnya berjaya menahan lelaki berusia 39 tahun itu.

Beliau tidak menolak kemungkinan lebih daripada tiga orang menjalankan kutipan khairat ini, mengambil kira kutipan harian mereka mencecah sehingga RM250.

“Hasil siasatan mendapati, modus operandi suspek mempamerkan surat palsu yang mengandungi kepala surat jabatan dan ditandatangani Pengarah JHEAIPP bagi meyakinkan orang ramai untuk menderma.

“Siasatan juga mendapati purata kutipan sehari cecah RM150 hingga RM250 dan mereka aktif kira-kira dua bulan lalu.

“Berdasarkan hasil kutipan ini, kita tidak menolak kemungkinan terdapat lebih daripada tiga orang menjalankan kutipan khairat dan mereka ini didalangi sindiket,” katanya kepada pemberita.

Pada masa sama sama, Muhamad Helmi berkata pihaknya masih menjalankan siasatan ke mana hasil kutipan itu disalurkan.

JHEAIPP mengingatkan kutipan derma bagi tujuan kebajikan perlu mendapat kebenaran dan kelulusan bertulis daripada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

“Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati sebelum menyalurkan sumbangan dan merujuk surat kebenaran dengan pihak jabatan bagi mengelakkan penipuan,” katanya.

BACA JUGA Makin banyak cerita tak sedap, komuniti pendaki tuntut penjelasan malim gunung