Larangan penggunaan telefon bimbit antara langkah yang dipertimbangkan Jemaah Menteri, bendung jenayah babitkan pelajar

Larangan penggunaan telefon bimbit untuk pelajar bawah 16 tahun merupakan antara langkah yang dipertimbangkan oleh Jemaah Menteri susulan peningkatan kes jenayah membabitkan pelajar sekolah, umum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu pihak polis telah diarahkan meningkatkan pemantauan keselamatan di premis sekolah dengan lebih kerap.

“Langkah-langkah yang patut segera diambil, umpamanya jamin keselamatan sekolah, kita dah bincang.

“Pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memastikan pemantauan keselamatan sekolah itu tidak menjadi tugas mereka,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan peranan ibu bapa memantau kandungan yang diakses anak ketika di luar sekolah.

“Kita dapati kesan pengaruh media sosial dan juga gaming, bukan gaming, online games ini, kadang kala jurus tindakan yang tidak sihat.

“Itu kita akan ambil tindakan, larang penggunaan smartphone untuk umur 16 tahun ke bawah, penelitian masih dibuat, tapi banyak negara melaksanakan, masih izinkan telefon untuk kegunaan anak-anak.

“Tapi saya fikir, harus kita tegas dalam hal ini, tentunya peranan ibu bapa,” katanya.

Pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) turut diingatkan agar melindungi sebarang kes buli.

“Guru besar, ibu, bapa perlu beri kerjasama sepenuhnya. Antara masalahnya ialah salah faham atau keutamaan pentadbir sekolah yang mahu melindungi imej sekolah.

“Bila ada kes, mereka simpan, kononnya untuk jaga nama baik sekolah. Tapi kalau dilindungi, itu satu kesalahan, ibarat melindungi jenayah,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika mengulas keputusan kerajaan untuk membendung kes jenayah membabitkan pelajar sekolah, seusai menunaikan solat Jumaat di Surau Jannatul Firdaus, PPAM Seruling, Presint 5, Putrajaya.

BACA JUGA: Berita baik STR Fasa 4 akan mula dibayar mulai esok