Berdiri teguh bersama Pakistan dan Afghanistan, ini seruan Anwar selesaikan konflik
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepentingan untuk mencari penyelesaian konflik berpanjangan di antara Afghanistan dan Pakistan secara damai melalui saluran diplomasi dan dialog.
Beliau berkata, tindakan itu penting demi mengelakkan konflik berpanjangan yang hanya akan membawa kesengsaraan kepada rakyat serta menjejaskan keamanan dan kestabilan rantau ini.
“Lewat malam tadi, saya telah menghubungi Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, dan Pemangku Perdana Menteri Afghanistan, Mullah Mohammad Hassan Akhund, bagi menyuarakan kebimbangan Malaysia terhadap peningkatan ketegangan di sepanjang sempadan kedua-dua negara,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Anwar dalam masa sama turut menzahirkan rasa dukacita dan simpati mendalam atas musibah banjir yang melanda Pakistan serta gempa bumi yang menggegarkan timur Afghanistan baru-baru ini.
“Malaysia akan terus berdiri teguh bersama Pakistan dan Afghanistan, serta komuniti antarabangsa, dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan, memperkukuh semangat persaudaraan Islam, dan menyokong segala inisiatif ke arah keamanan serta kestabilan serantau termasuk rundingan damai yang sedang diusahakan di bawah kelolaan Kerajaan Qatar,” kata beliau lagi.
Dalam perkembangan terbaharu konflik Pakistan dan Afghanistan, kedua-dua negara itu telah bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta ketika rundingan damai di Doha, Qatar.
Pertempuran darat dan serangan udara Pakistan merentasi sempadan sepanjang 2,600 kilometer itu tercetus selepas Islamabad menuntut Kabul mengawal militan yang dituduh melancarkan serangan dari tempat perlindungan di Afghanistan.
Pakistan bagaimanapun menafikan dakwaan Taliban yang menuduh tentera Pakistan menyebarkan maklumat salah mengenai Afghanistan.
BACA JUGA Tak lantik tokoh tempatan, Pas pilih Annuar Musa kendali PRN Sabah