Tak lantik tokoh tempatan, Pas pilih Annuar Musa kendali PRN Sabah
Pas mengambil keputusan untuk tidak melantik tokoh tempatan sebagai Pengarah Pilihan Raya Sabah sebaliknya memilih Tan Sri Annuar Musa untuk bertempur pada 29 November depan.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, keyakinan parti itu terhadap Annuar memandangkan bekas pemimpin UMNO berkenaan pernah menjadi Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) di Sabah sebelum ini.
“Annuar juga mempunyai rangkaian serta maklumat tentang geopolitik di sana (Sabah). Beliau lebih tahu serta mempunyai banyak maklumat berbanding kita.
“Jadi, kita harap dengan pengalaman tersebut, beliau dapat membantu parti merangka strategi serta gerak kerja bagi memenangi kerusi di sana,” kata Mohd Amar.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas Ceramah Umum Sempena Sambutan 70 Tahun Pas Kelantan dan 35 Tahun Membangun Bersama Islam di Pengkalan Chepa, malam tadi.
Mohd Amar berkata, Pas mengambil keputusan untuk tidak melantik tokoh tempatan sebagai Pengarah Pilihan Raya Sabah bagi mengelakkan bebanan tugas.
Jelas bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan selama 10 tahun bermula 2013 itu, tokoh-tokoh tempatan berkemungkinan besar akan diberi mandat untuk mewakili Pas pada PRN nanti.
“Kalau kita lantik (mereka) jadi Pengarah Pilihan Raya, akan jadi kelam-kabut.
“Hal ini kerana di Sabah, kita (Pas) ada calon yang bagus dan berpotensi,” kata beliau lagi.
Sebelum ini, Perikatan Nasional (PN) menyasarkan untuk bertanding 36 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Selain kerusi ADUN Dilantik yang disandang Datuk Dr Aliakbar Gulasan merangkap Naib Pengerusi PN Sabah, PN tiada kerusi dalam DUN ke-16 yang dibubarkan pada 6 Oktober lalu.
BACA JUGA 47 pelanggaran perjanjian gencatan senjata, puluhan maut dibunuh Israel