Pemilik restoran nasi kandar dedah ‘modus operandi’ pelanggan mahu makan percuma
Pemilik restoran Nasi Kandar Sulaiman meluahkan kekecewaan selepas seorang pelanggan yang mendakwa dirinya pempengaruh (influencer) cuba mendapatkan makanan percuma.
Menurut catatan pemilik restoran itu, pelanggan tersebut tiba bersama keluarga dan memperkenalkan diri sebelum makan dengan berkata, “saya influencer”.
Pelanggan yang mahu makan percuma itu kemudian menunjukkan akaun TikTok yang dikatakan mempunyai kira-kira 40,000 pengikut.
Bagaimanapun, pemilik kedai makan terletak di Jalan Air Itam, George Town itu menegaskan pelanggan tetap perlu membayar makanan yang diambil.
“Nak ambil video itu ikut suka beliau sahaja. Saya tidak menghalang tetapi perlu bayar sebab bukan saya jemput beliau,” tulisnya menerusi hantaran di Facebook yang meraih perhatian orang ramai.
Jelasnya, bil pelanggan itu berjumlah RM53, dan apabila tiba masa untuk membayar pelanggan tersebut kembali mengulangi permintaan agar diberikan percuma kerana status sebagai pempengaruh.
“Kalau 10 orang buat macam ini, habislah saya, bankrap terus,” katanya dengan nada berseloroh.
Sehubungan itu, pemilik restoran berkenaan menegaskan bahawa menjadi pempengaruh bukan bermaksud tidak perlu membayar makanan yang diambil.
BACA JUGA PRN Sabah: Apa kata Hajiji tentang rundingan kerusi GRS?