Tular rakaman suara lelaki maklum anak isteri maut

Tular rakaman suara memaparkan perbualan di antara seorang lelaki yang memaklumkan kepada rakan sekerja tidak dapat hadir ke tempat kerja, selepas menemui isteri dan anak perempuannya maut dalam rumah.

Rakaman suara berdurasi 20 saat itu sekali gus meruntun jiwa orang ramai yang mendoakan agar lelaki berkenaan diberikan ketabahan dalam menghadapi ujian yang begitu sukar untuk diterima.

Kedengaran suara individu terbabit dipercayai suami mangsa, dalam keadaan trauma sambil menangis memberitahu beliau tidak dapat hadir ke tempat kerja lantaran tragedi yang menyayat hati itu.

Menerusi reaksi pengguna media sosial, ada yang mengenali isteri lelaki berkenaan sebagai Kak Su seorang penjual kuih yang baik dan rajin mencari pendapatan membantu keluarga.

Sebelum ini, media melaporkan, mayat wanita berusia 51 bersama anak perempuannya, 11, ditemui suaminya jam 7.30 malam semalam, di rumah sewa mereka di Kampung Sekolah Juru, di Bukit Mertajam.

Dilaporkan, mayat wanita itu ditemui di bahagian dapur tingkat bawah rumah, manakala anaknya dalam keadaan meniarap berlumuran darah di tingkat atas rumah.

Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

BACA JUGA 47 pelanggaran perjanjian gencatan senjata, puluhan maut dibunuh Israel