148 individu dirakam keterangan, apa bakal dihadapi pelajar lelaki ini esok?
Pelajar lelaki berusia 14 tahun yang menikam mendiang Yap Shing Xuen sehingga maut di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya minggu lalu akan disambung reman esok.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, permohonan sambungan itu sejurus tahanan reman ke atas suspek tersebut tamat esok.
“Permohonan reman kali kedua akan dibuat 8 pagi esok di Mahkamah Majistret Petaling Jaya dan kertas siasatan dijangka dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya pada lusa untuk arahan lanjut.
“Rakaman percakapan saksi setakat ini seramai 148 orang,” katanya, dipetik BH.
Pada 14 November lalu, negara digemparkan dengan tindakan sadis seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun yang menikam Shing Xuen, 16, di tandas sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya.
Susulan itu, Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha di Mahkamah Majistret Petaling Jaya mengeluarkan perintah reman terhadap remaja berkenaan selama tujuh hari bermula 15 Oktober lalu.
Dua senjata tajam dipercayai digunakan dalam serangan itu telah dirampas polis di tempat kejadian.
Ibu mangsa, Wong Lee Ping mendedahkan terdapat kira-kira 200 kesan tikaman di bahagian kanan badan, termasuk leher dan paru-paru anaknya mengikut laporan bedah siasat yang dijalankan pihak patalogi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Lee Ping berkata, hasil siasatan polis memaklumkan suspek melompat dari bahagian atas tandas sebelum menikam mangsa yang ketika itu berada di dalam bilik tandas berkunci.
BACA JUGA Doa untuk kesembuhan Ustaz Ahmad Awang