Bukan punca cinta tiga segi, polis nasihat henti buat spekulasi kes 2 beranak mati ditetak
Polis menolak dakwaan tular di media sosial kononnya kejadian dua beranak maut ditetak di rumah sewa mereka di Kampung Sekolah, Juru, di Bukit Mertajam, pada 18 Oktober lalu berpunca daripada cinta tiga segi.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail menasihati orang awam agar berhenti membuat spekulasi dengan menularkan maklumat tidak sahih berhubung kes pembunuhan ngeri itu.
Tegas beliau, tindakan menyebarkan maklumat kurang tepat mengenai kes yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu boleh menjejaskan siasatan pihak polis.
Menurutnya, penahanan tiga individu termasuk suami mangsa juga dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan dari segenap sudut untuk mengenal pasti pelaku sebenar.
Setakat semalam, polis menahan reman tiga lelaki termasuk suami mangsa berusia 57 tahun selama tujuh hari bagi membantu siasatan pembunuhan dua beranak, Sariya Che Hin,51, dan Nur Afrina Alisha Abdul Rahim,11.
Pada jam 7.30 malam, 18 Oktober lalu, mayat Sariya ditemukan suaminya di bahagian dapur tingkat bawah rumah dalam keadaan menyayat hati dengan kepalanya hampir putus.
Sementara itu, mayat Nur Afrina Alisha yang juga anak angkat Sariya ditemui meniarap berlumuran darah di tingkat atas rumah.
Polis kemudiannya menemui sebilah pisau dalam semak berhampiran lokasi pembunuhan menggemparkan itu pada malam kejadian.
Hasil bedah siasat mendapati punca kematian Sariya dan Nur Afrina disebabkan tetakan di belakang leher menggunakan senjata tajam dipercayai pisau pemotong daging.
BACA JUGA Mahiaddin mungkin boleh jadi PM kalau tak tolak cadangan Kerajaan PerpaduanÂ