Mahiaddin mungkin boleh jadi PM kalau tak tolak cadangan Kerajaan Perpaduan 

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendedahkan bahawa Tan Sri Mahiaddin Md Yassin tidak pernah berbincang dengan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Bersatu saat menolak cadangan Yang di-Pertuan Agong  untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan selepas PRU15.

Menurutnya, keputusan itu dibuat segera di hadapan Seri Paduka tanpa melalui sebarang perbincangan dalaman parti.

“Saya difahamkan daripada beberapa pimpinan kanan Bersatu dan Pas, penolakan itu tidak dibincangkan dalam Majlis Tertinggi.

“Maknanya keputusan itu dibuat serta-merta, di depan Tuanku Agong waktu itu,” katanya dalam The Zaid Ibrahim Podcast yang disiarkan semalam.

Wan Fayhsal mendedahkan, arwah Tun Daim Zainuddin pernah berkata kepadanya bahawa sepatutnya Mahiaddin tidak menolak terus cadangan itu, sebaliknya “membeli masa” untuk rundingan lanjut.

“Saya dulu pernah bincang dengan arwah Tun Daim. Dia kata, by right we should buy more time masa tu, for negotiation.

“Sebab Tuanku waktu itu belum nak lantik sesiapa lagi. Sepatutnya masa itu digunakan untuk terus berunding, bukan terus menolak cadangan tersebut. Itu sepatutnya taktikalnya,” jelas Wan Fayhsal.

Selain itu berdasarkan maklumat diterimanya, terdapat cadangan penggiliran jawatan Perdana Menteri antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mahiaddin, sekiranya Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menerima cadangan Kerajaan Perpaduan.

“Saya difahamkan (berdasarkan) penerangan dari pimpinan parti. Semacam ada satu penggiliran separuh penggal Anwar, separuh lagi Mahiaddin.

“Tapi kerana mungkin prinsip tidak mahu bersama DAP dan mungkin faktor kami yang ketika itu memperoleh 115 sokongan terlebih dahulu, maka keputusan dibuat untuk menolak,” katanya.

BACA JUGA Ibu bapa wajar sokong had umur 16 tahun, bantu bendung buli siber, tekanan emosi – Pakar Kaunseling