Ibu bapa wajar sokong had umur 16 tahun, bantu bendung buli siber, tekanan emosi – Pakar Kaunseling
Pakar berpendapat cadangan kerajaan menaikkan had umur minimum penggunaan media sosial daripada 13 kepada 16 tahun adalah langkah preventif (pencegahan) yang sangat wajar.
Pakar Psikologi Kaunseling, Prof. Madya Dr. Fauziah Mohd Saad berkata, pada usia bawah 16 tahun, kebanyakan remaja masih dalam fasa perkembangan kognitif dan emosi yang belum stabil sepenuhnya.
Kata beliau, mereka lebih mudah terpengaruh dengan tekanan sosial, manipulasi dalam talian, serta terdedah kepada jenayah siber seperti grooming, buli siber, sextortion, dan penipuan dalam talian.
Pensyarah di Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu berkata, dengan menetapkan had umur lebih tinggi, ia mampu mengurangkan risiko terdedah kepada kandungan toksik dan jenayah siber
“Kanak-kanak mempunyai lebih banyak masa untuk membina kemahiran daya tahan emosi dan kematangan sosial sebelum terlibat dalam dunia digital terbuka.
“Kajian menunjukkan pendedahan awal kepada media sosial berkorelasi dengan peningkatan risiko kemurungan, keresahan, imej diri negatif dan konflik sosial dalam kalangan remaja.
“Dengan melambatkan akses media sosial, kanak-kanak berpeluang membina identiti diri dan keyakinan dalam dunia sebenar sebelum terdedah kepada tekanan dunia maya,” kata beliau ketika dihubungi.
Mengulas lanjut Dr. Fauziah berkata, Ibu bapa seharusnya menyokong langkah ini kerana ia bukan bermakna “menyekat kebebasan”, tetapi memberi ruang untuk perlindungan dan pembangunan yang sihat.
Beliau melihat bahawa larangan awal bukan bermaksud menutup akses sepenuhnya, tetapi memberi masa yang cukup untuk pendidikan digital, bimbingan ibu bapa, dan pembinaan kemahiran daya tahan sebelum golongan ini masuk ke dunia media sosial.
Dari sudut psikologi pula, beliau melihat kanak-kanak di bawah usia 16 tahun belum mempunyai keupayaan penuh untuk menilai risiko dan akibat jangka panjang sesuatu tindakan.
Mereka juga lebih mudah terpedaya dengan manipulasi emosi contohnya dalam kes “grooming” atau “online predators” yang menggunakan pendekatan psikologi halus.
Justeru katanya, adalah tidak realistik untuk menganggap mereka cukup matang untuk menguruskan semua risiko digital tanpa pemantauan.
“Oleh itu, perlindungan struktur seperti had umur dan pengesahan identiti (eKYC) amat penting,” katanya lagi.
BACA JUGA Kenapa samakan bukan Melayu, bukan Islam Malaysia dengan Yahudi? Syahredzan selar Ahmad Marzuk