KLIA jadi lapangan terbang keempat paling banyak terhubung di dunia

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berada di tangga keempat tahun ini dalam senarai 50 Hab Mega Lapangan Terbang Global Teratas, menurut laporan dikeluarkan Official Airline Guide (OAG).

Firma analisis penerbangan antarabangsa yang berpangkalan di United Kingdom itu menyenaraikan KLIA di kedudukan teratas bagi Asia Pasifik dengan 36 peratus daripada semua penerbangan keluar dan masuk di lapangan terbang itu dikendalikan oleh AirAsia.

Laporan OAG itu menilai lapangan terbang paling bersambung di dunia iaitu lapangan terbang yang menawarkan jumlah sambungan penerbangan antarabangsa tertinggi dalam tempoh enam jam.

Menurut analisis firma tersebut, KLIA mempunyai 36,159 kombinasi penerbangan antarabangsa membabitkan 151 destinasi.

Sementara itu, Lapangan Terbang Heathrow, London (LHR) menduduki tempat teratas dalam senarai Hab Mega Global 2025.

Sebanyak 51 peratus daripada semua penerbangan yang beroperasi di LHR dikendalikan oleh British Airways.

LHR juga merupakan lapangan terbang paling bersambung di dunia, dengan keupayaan menawarkan sebanyak 59,240 kombinasi penerbangan transit antarabangsa membabitkan 226 destinasi di seluruh dunia.

BACA JUGA Pemilik restoran nasi kandar dedah ‘modus operandi’ pelanggan mahu makan percuma