Malaysia terima paling banyak pelancong tahun ini
Malaysia menerima paling banyak pelancong asing berbanding negara-negara Asia Tenggara lain mulai Januari hingga Ogos lalu.
Seramai 28.24 juta pelancong melawat Malaysia sepanjang tempoh tersebut berbanding 24.66 juta dalam tempoh sama pada 2024.
Thailand menduduki tangga kedua ketibaan pelancong antarabangsa dengan seramai 21.88 juta diikuti Vietnam (13.9 juta), Singapura (11.6 juta), Indonesia (10.04 juta) dan Filipina dengan 3.96 juta pelancong.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata dalam jawapan bertulis di Parlimen baru-baru ini memaklumkan kira-kira separuh daripada jumlah pelawat di Maalaysia adalah dari Singapura, dengan 14 juta ketibaan, meningkat 18.1% berbanding tahun sebelumnya.
Negara seterusnya ialah China dengan 3.3 juta pelawat (meningkat 27.5%), Indonesia dengan 2.9 juta (meningkat 6.8%), Thailand dengan 1.6 juta (meningkat 5.8%), dan India dengan 1.1 juta (meningkat 22.5%).
Kerajaan menyasarkan 31 juta ketibaan pelancong antarabangsa dan hasil pelancongan sebanyak RM125.5 bilion tahun ini, dengan sasaran yang lebih tinggi iaitu 47 juta pelawat pada tahun 2026 sempena kempen Visit Malaysia 2026.

BACA JUGA Pemilik restoran nasi kandar dedah ‘modus operandi’ pelanggan mahu makan percuma