Tiada istilah cuti demi perkukuh ekosistem sekolah selamat, kata Fadhlina
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan bahawa beberapa insiden yang berlaku kebelakangan ini menuntut usaha lebih gigih daripada semua pihak bagi memperbaiki kelemahan dalam sistem keselamatan sekolah.
Menurutnya, Kementerian Pendidikan (KPM) kini sedang memperhebat pelbagai inisiatif bagi memastikan keselamatan murid, guru dan seluruh warga pendidikan sentiasa terjamin.
“Beberapa insiden yang berlaku lewat ini menuntut kita untuk bekerja dengan lebih kuat lagi bagi memperbaiki kelompongan yang ada demi memastikan keselamatan anak-anak, para guru dan seluruh warga pendidikan,” katanya dalam kenyataan di media sosial.
Fadhlina berkata, tiada istilah cuti bagi pasukannya ketika ini kerana KPM sedang menyusun semula semua mekanisme bagi memperkukuh ekosistem sekolah selamat di seluruh negara.
Beliau turut mengadakan sesi pertemuan dan taklimat bersama pasukan sokongan psikososial yang kini menjalankan intervensi krisis untuk membantu komuniti sekolah yang terjejas akibat beberapa insiden kebelakangan ini.
“Pertemuan dan debrief ini penting untuk mendukung sokongan kesihatan mental dalam kalangan warga sekolah yang terlibat,” jelasnya.
Selain itu, beberapa siri perbincangan bersama pasukan KPM turut diadakan bagi membincangkan langkah penambahbaikan aspek keselamatan dan disiplin murid, selaras dengan keputusan Jemaah Menteri baru-baru ini.
“Insya-Allah, saya akan umumkan beberapa langkah tambahan dalam masa terdekat,” tambahnya sekaligus mencerminkan komitmen berterusan KPM dalam memastikan persekitaran sekolah yang lebih selamat, harmoni dan kondusif bagi pembelajaran murid di seluruh negara.
BACA JUGA Malaysia terima paling banyak pelancong tahun ini