AMANAH desak siasat segera MP Pas biadab samakan sejarah Palestin dengan Malaysia

Parti Amanah Negara (AMANAH) menggesa pihak berkuasa menyiasat Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary, berhubung kenyataannya yang disifatkan sebagai biadab dan berbahaya apabila menyamakan keadaan Palestin dengan Malaysia.

Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil, berkata kenyataan Marzuk bertajuk “Belajar Dari Sejarah Palestin; Jangan Kita Ulangi Kesilapan Yang Sama” bukan sahaja tidak berasas, malah boleh menimbulkan ketegangan kaum dan agama dalam negara.

“Kenyataan itu amat biadab dan perlu disiasat segera kerana ia menyentuh isu 3R (raja, agama, kaum) yang boleh mengancam ketenteraman awam serta melanggar Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad Faiz Fadzil

Faiz menegaskan kenyataan Marzuk juga berbentuk hasutan yang boleh mengundang salah faham dalam kalangan umat Islam dan menyemarakkan api perkauman serta konflik agama.

Beliau berkata, semangat solidariti rakyat Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin tidak wajar dijadikan bahan perbandingan politik sempit yang boleh menjejaskan keharmonian negara.

“Israel merupakan negara haram hasil komplot British dan Yahudi yang merampas tanah rakyat Palestin sejak 1948, menyebabkan pengusiran dan pembunuhan besar-besaran.

“Situasi ini sama sekali berbeza dengan sejarah Malaysia di mana kaum bukan Melayu diterima sebagai warganegara tanpa sebarang peperangan,” jelasnya.

Faiz turut menegaskan bahawa orang Melayu kekal sebagai kaum terbesar dan peneraju utama kepimpinan negara, termasuk jawatan Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong yang sentiasa disandang oleh orang Melayu sejak merdeka.

“Adakah Marzuk tidak memahami struktur asas pentadbiran negara yang dipayungi institusi diraja Melayu yang menjadi payung kepada seluruh rakyat, tanpa mengira kaum?” bidasnya.

Pemikiran sempit Pas

Dalam masa sama, beliau turut mengecam kenyataan Marzuk yang menyentuh penguasaan ekonomi oleh bukan Melayu, sambil menyifatkannya sebagai penghinaan terhadap kemampuan orang Melayu yang kini turut berjaya dalam pelbagai sektor termasuk pertanian dan pembinaan.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu menyifatkan kenyataan yang menyamakan Malaysia dengan Palestin sebagai “tidak berasas sama sekali” dan mencerminkan pemikiran sempit politik Pas.

“Ironinya, ketika kerajaan negeri pimpinan Pas memberikan tanah balak kepada bukan Melayu, mereka tidak pula menyamakan keadaan itu dengan nasib rakyat Palestin,” sindirnya.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang itu menegaskan sikap ‘double standard’ pemimpin pembangkang berkenaan jelas menunjukkan Pas menunggang agama demi kepentingan politik, jauh daripada ajaran Rasulullah SAW yang menekankan perpaduan dan keamanan antara umat Islam serta bukan Islam di Madinah.

BACA JUGA MAS diiktiraf 10 syarikat penerbangan terbaik