Isu hak 40 peratus hasil Sabah: Ini penjelasan PM Anwar
Perdana Menteri menegaskan kerajaan menghormati dan akan meneliti alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkait 40 peratus hasil Persekutuan kepada Sabah.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, alasan penghakiman yang akan diterima akan diteliti sebelum sebarang tindakan lanjut dilaksanakan atas nasihat Peguam Negara demi kebaikan dan kepentingan Sabah dan Malaysia seluruhnya.
Jelasnya, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu antara lainnya, mengarahkan Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan kajian semula bersama Kerajaan Sabah di bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan bagi memberikan kesan terhadap hak 40 peratus.
“Keputusan ini diambil serius oleh Kerajaan Persekutuan dan menunggu Kerajaan Sabah selepas pilihan raya negeri (PRN) yang bakal diadakan.
“Namun, yang memusykilkan adalah keputusan itu mengundang tafsiran yang mengelirukan, seolah-olah Kerajaan Persekutuan ini dan sebelumnya hanya menyedut hasil Sabah dan tidak menyumbang kepada pembangunan Sabah,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika menyampaikan sesi penerangan khas Perdana Menteri berkaitan isu pemberian khas Sabah di Dewan Rakyat hari ini.
Menurutnya, Kerajaan Persekutuan tidak dapat memperincikan perkara yang masih menjadi pertikaian di mahkamah bagi menghormati proses perundangan yang masih berlangsung.
“Cuma hari ini bagi menyangkal tohmahan, saya ingin menerangkan merangka besar berhubung komitmen Kerajaan MADANI kepada pembangunan Sabah.
“Pertama, saya ingin menegaskan, seperti mana Kerajaan Persekutuan dan negeri sebelum ini, bahawa Kerajaan MADANI komited memenuhi segala obligasi kepada Sabah sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.
Pada 17 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengarahkan Kerajaan Persekutuan menyemak semula hak 40 peratus hasil bersih Sabah dalam tempoh 90 hari.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan bahawa setakat ini Kerajaan MADANI berjaya mencapai kejayaan positif dalam menyelesaikan banyak isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MAA 63), Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Teknikal 1963, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein.
Sebanyak 13 tuntutan di bawah MAA 63 sudah diselesaikan, jelas Anwar, antaranya yang dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah termasuk penyerahan kuasa kawal selia elektrik dan Sabah Electricity Berhad kepada kerajaan Sabah.
“Tetapi selepas menyerahkan, Kerajaan Persekutuan masih tetap menyediakan RM1.2 bilion untuk menjamin kelangsungan elektrik Sabah,” katanya.
Selain itu, Anwar memaklumkan bahawa Kerajaan MADANI mengiktiraf Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Bekalan Air Sabah sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182.
Dalam masa sama, kerajaan turut sudah menyerahkan kuasa melulus bagi perolehan projek Persekutuan kepada Jabatan Teknik di Sabah sehingga RM50 juta.
“Pindaan turut dilakukan ke atas Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (Akta 53) bagi melantik wakil Kerajaan Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap LHDN,” kata Anwar lagi.
BACA JUGA AMANAH desak siasat segera MP Pas biadab samakan sejarah Palestin dengan Malaysia