Menantu Mahiaddin yang dikehendaki SPRM hidup mewah di Timur Tengah

Menantu presiden Bersatu Tan Sri Mahiaddin Yassin – Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan – yang dikehendaki oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia selama lebih daripada dua tahun dipercayai menjalani kehidupan yang mewah di Timur Tengah.

Akhbar berbahasa Inggeris New Straits Times telah menyiarkan gambar – gambar Adlan dalam perjumpaannya dengan tokoh-tokoh di Timur Tengah.

Adlan keluar masuk negara Timur Tengah untuk perjalanan luar negara termasuk ke Negara Thai untuk main golf dan lawatan ke padang sasar tembak.

SPRM sebelum ini dilaporkan berkata Adlan menetap di sebuah negara yang tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Malaysia.

Adlan yang kini berusia 49 tahun berlepas ke New Zealand pada 17 Mei sejurus selepas bapa mertuanya didakwa atas kes rasuah.

Peguam Adlan, Mansoor Saat, 70, pula berlepas ke Jakarta empat hari selepas Adlan.

Kedua-dua mereka berdepan tuduhan berkaitan projek National Enforcement and Registration (Biometrics) System (NERS), yang dibiayai melalui kemudahan sukuk bernilai RM595 juta.

Projek NERS bertujuan meningkatkan keselamatan negara melalui pengumpulan data biometrik. Namun, siasatan mendapati hampir RM50 juta hasil kutipan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) – yang sepatutnya digunakan untuk pembayaran balik sukuk – diselewengkan.

Siasatan SPRM mengenal pasti Adlan dan Mansoor sebagai individu yang terbabit dan kes disiasat di Bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

SPRM dan Jabatan Peguam Negara telah bersetuju untuk meneruskan pertuduhan kedua-dua mereka tanpa kehadiran.

BACA JUGA: Maritim Malaysia serang Masjid Rusila? Fitnah, pembohongan tanpa asas