Pas menggelupur konon serbuan ala komando, ini 11 fakta tentang Masjid Rusila
Ketika pimpinan Pas mendakwa berlaku serbuan ala komando di Masjid Rusila, Terengganu, ramai tertanya-tanya, apa istimewanya masjid tersebut hinggakan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) singgah dianggap ancaman besar.

Berikut 11 fakta mengenai Masjid Rusila yang sinonim dengan Pas dan presiden parti pembangkang itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang sejak lebih 40 tahun lalu:
1) Terletak di Kampung Rusila, di daerah Marang kira-kira 15 kilometer dari bandar Kuala Terengganu dan bersebelahan dengan rumah Abdul Hadi Awang serta di seberang jalannya tersergam bangunan Pas Kawasan Marang.
2) Berada kurang 1 kilometer dari garisan pantai yang terlibat dengan risiko hakisan pantai menurut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
3) Tempat Abdul Hadi mengajar dan berkhutbah selama lebih 40 tahun sehinggakan bekas penyokong Pas menganggap masjid itu sebagai ‘tanah suci keempat’ bagi ahli parti tersebut.
4) Banyak keputusan dan ucapan penting Abdul Hadi, termasuk isu-isu nasional, diumumkan atau dijelaskan dari mimbar Masjid Rusila.

5) Ibarat ‘universiti terbuka Pas’ apabila kuliah pagi Jumaat oleh Abdul Hadi sering menjadi wadah untuk menjelaskan dasar politik Pas.
6) Berfungsi seperti pusat latihan dan pembentukan kader parti (tarbiyah harakiah) sejak awal 1980-an dengan Abdul Hadi mula menang bertanding buat kali pertama di Parlimen Marang pada 1982.

7) Pernah tular dengan dakwaan bahawa tandas di Masjid Rusila sebagai terlalu kotor dan amat berbau busuk, malah 30 meter dari pintu tandas sudah meruap bau tidak menyenangkan.
8) Bersebelahan bangunan Maahad Darul Quran Rusila (MDQ) empat tingkat yang diasaskan Abdul Hadi serta melahirkan ramai ustaz, penceramah, dan pemimpin Pas.
9) Pekarangan kompleks masjid berwarna hijau dan putih ini menjadi pusat tumpuan ribuan jemaah dengan ada yang menyebut suasana setiap kali program besar Pas seperti ‘mini Muktamar’.

10) Ribuan penduduk Terengganu berhimpun di perkarangan Masjid Rusila awal bulan ini sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan Sumud Flotilla.
11) Dikatakan berlaku serbuan berbentuk ‘ala-komando’ tetapi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menjelaskan pelatih pasukan berkenaan hanya singgah menunaikan solat Asar semasa menjalani latihan.

BACA JUGA Dakwaan Masjid Rusila diserbu ala-komando: Ini peringatan menteri