Pondok tidak berdaftar akan ditutup? Menteri Agama sifatkan tuduhan berniat jahat
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Mohd Na’im Mokhtar menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya kerajaan akan mengarahkan penutupan pondok-pondok tidak berdaftar di Kelantan dan Kedah.
Menurut beliau, tuduhan yang tular di media sosial itu tidak benar, berniat jahat dan bersifat fitnah, malah disebarkan tanpa sebarang sumber rasmi yang sahih.

“Amat ketara perbuatan tidak bermoral dan memfitnah ini kerana ia tular tanpa menyatakan sebarang sumber rasmi.
“Tindakan menyebarkan tuduhan tidak berasas, terutamanya melibatkan isu sensitif seperti institusi agama, boleh mengancam keharmonian masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Mohd Na’im menjelaskan, Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa memberi sokongan penuh kepada institusi pendidikan Islam, termasuk sekolah pondok, madrasah dan tahfiz, sebagai tunjang kepada pembangunan Malaysia MADANI.
Sebaliknya, jelas beliau, usaha pihak berkuasa agama ketika ini hanyalah bagi menambah baik sistem pendaftaran dan penarafan institusi pendidikan Islam supaya kebajikan pelajar, keselamatan, kesihatan serta kualiti pengajian lebih terjamin dan diiktiraf.
“Tiada sebarang arahan penutupan pondok dikeluarkan,” tegas beliau.
Sehubungan itu, Dr Mohd Na’im menyeru semua pihak agar tidak menyebarkan berita palsu atau fitnah yang boleh menjejaskan imej institusi Islam dan menimbulkan kekeliruan masyarakat.
Beliau menegaskan, sebarang maklumat sahih mengenai dasar atau keputusan rasmi hanya akan disalurkan melalui saluran rasmi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta agensi berkaitan.
“Marilah kita bersama-sama memelihara maruah institusi pondok dan pendidikan Islam serta menolak segala bentuk fitnah yang boleh memecah-belahkan umat,” kata Dr Mohd Na’im lagi.
BACA JUGA Pas menggelupur konon serbuan ala komando, ini 11 fakta tentang Masjid Rusila