Selepas penafian APMM, tular rakaman CCTV tunjuk tiada serbuan di Masjid Rusila
Sejak Pas mendakwa berlaku penggeledahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Masjid Rusila, Marang, turut tular beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan tiada sebarang insiden berlaku seperti yang didakwa.
Tiga hingga empat rakaman CCTV berlegar di Facebook menunjukkan situasi sebenar yang jauh berbeza daripada apa yang digemburkan pembangkang.
Fakta yang diperoleh mendapati tiada sebarang serbuan dilakukan pada tarikh kejadian iaitu 19 September 2025.
Sebaliknya, enam anggota APMM yang berpakaian biasa tanpa senjata hanya singgah menunaikan solat Asar di masjid berkenaan.
Dakwaan mereka menyerbu tempat solat wanita dengan berkasut juga tidak benar, berdasarkan rakaman tersebut.
Ketua Pengarah APMM, Datuk Mohd Rosli Abdullah pada semalam juga telah menafikan tuduhan penggeledahan, selain menjelaskan bahawa masjid berkenaan hanya menjadi lokasi beriktikaf dan rehat para pelatih selepas menunaikan solat Asar sebelum menerima tugasan seterusnya.
Malah pihak masjid telah dimaklumkan lebih awal mengenai kehadiran pelatih dan tiada sebarang gangguan terhadap jemaah mahupun aktiviti keagamaan.
Sementara itu menurut aktivis politik Syam Ghaz yang memuat naik klip rakaman berkenaan, imam masjid berkenaan telah pun mengakui terdapat salah faham berhubung isu tersebut dan dakwaan penggeledahan juga tidak benar.
“Rakaman CCTV menunjukkan suasana biasa. Orang parking kereta nak singgah solat, lepas tu masuk masjid. Tiada jeritan, tiada kekasaran, tiada ‘geledah ruang solat wanita’ seperti dakwaan Takiyuddin.
“Laporan polis telah pun dibuat oleh Imam Masjid Rusila pada 29 September 2025, selepas mendengar cerita dari petugas kebersihan.
“Apabila disiasat, Imam sendiri mengakui ia hanyalah salah faham dan tak adalah macam latihan komando pun!,” katanya.
Beliau berpendapat, tuduhan bahawa latihan “komando menyerbu masjid” seperti peristiwa Mamali adalah pembohongan dan tokok tambah cerita untuk menutup cerita Bersatu-PN sedang berpecah belah.
BACA JUGA Menantu Mahiaddin yang dikehendaki SPRM hidup mewah di Timur Tengah