Sidang Kemuncak ASEAN: PM beri jaminan keselamatan pemimpin dunia
Kerajaan memberi jaminan akan memberikan keselamatan tertinggi buat para pemimpin dunia yang akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, arahan telah dibuat supaya semua agensi keselamatan meningkatkan tahap kawalan sepanjang sidang berlangsung.
Katanya, isu keselamatan akan menjadi keutamaan dan Malaysia tidak akan berkompromi dalam soal itu.
“Kita tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan. Semua pemimpin dan delegasi dijamin keselamatan sepenuhnya,” katanya pada sesi Taklimat bersama Ketua Pengarang malam tadi, yang turut dihadiri Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan.
Mengulas mengenai khabar bahawa satu perhimpunan membantah Trump akan diadakan, Anwar berkata, kerajaan sentiasa menghormati hak rakyat untuk bersuara selagi ia dilakukan secara aman dan mengikut undang-undang.
“Malaysia kekal terbuka kepada pandangan berbeza tetapi menolak sebarang bentuk tindakan ekstrem yang boleh menjejaskan imej negara.
“Kalau ada yang mahu menyatakan pendirian, itu hak mereka. Tapi kita tidak boleh biarkan ada pihak yang cuba sabotaj atau mengganggu perjalanan sidang kemuncak ini,” katanya.
Beberapa aktivis dan kumpulan politik sebelum ini merancang untuk mengadakan perhimpunan pada Ahad ini di ibu negara bagi membantah kehadiran Presiden AS itu.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan mesyuarat berkaitan yang dijadual berlangsung pada 26 hingga 28 Oktober ini menjadi kemuncak kepada Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN bagi tahun 2025, dengan tema ‘Inklusiviti dan Kelestarian’.
BACA JUGA Maritim Malaysia serang Masjid Rusila? Fitnah, pembohongan tanpa asas