Takiyuddin patut ulang semula kenyataan di luar Dewan kalau betul bertanggungjawab

Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof menyarankan agar Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengulangi dakwaannya terhadap anggota Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), di luar Dewan Rakyat.

Katanya, jika benar pemimpin pembangkang itu mahu bertanggungjawab terhadap kenyataannya, maka beliau harus mengulangi dakwaan itu.

“Saya sarankan jika sekiranya MP Kota Bharu benar-benar bertanggungjawab, beliau harus ulangi kenyataannya di luar Dewan Parlimen. Baru gentleman,” katanya dalam satu ulasan ringkas kepada Harapan Daily.

Terdahulu, Takiyuddin mendakwa beliau mempunyai dokumen dan video anggota APMM menjalankan latihan di Masjid Rusila, Marang, Terengganu pada 29 September lalu, yang menurutnya seolah-olah mengulangi peristiwa Memali 1985.

Dakwanya, terdapat 10 hingga 15 individu menyerbu masuk ke dalam masjid tanpa kebenaran dan tidak menanggalkan kasut.

Perkara itu telah pun dinafikan Ketua Pengarah APMM, Datuk Mohd Rosli Abdullah yang menjelaskan bahawa masjid berkenaan hanya menjadi lokasi beriktikaf dan rehat para pelatih selepas menunaikan solat Asar sebelum menerima tugasan seterusnya.

Dalam rakaman CCTV tular juga tidak menunjukkan sebarang kekecohan berlaku di Masjid berkenaan, malah anggota APMM tidak mengenakan seragam mahupun menggunakan kasut memasuki masjid.

BACA JUGA Ucapan MP Kota Bharu serius, mesti disiasat dan diambil tindakan