Ucapan MP Kota Bharu serius, mesti disiasat dan diambil tindakan
Pengerusi AMANAH Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh menggesa agar satu siasatan dibuat terhadap Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Ia susulan tuduhan bahawa sekumpulan anggota dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), telah menggeledah Masjid Rusila, Marang tanpa kebenaran.
Ismail berkata, dakwaan tersebut adalah serius lebih-lebih lagi beberapa rakaman CCTV juga sudah tersebar, menunjukkan tiada sebarang insiden seperti itu telah berlaku.
“Saya kira ucapan Kota Bharu dalam Parlimen adalah satu dakwaan yang sangat serius. Pengarah APMM sendiri telah menafikan perkara itu.
“Dan beberapa CCTV pun telah menunjukkan sebaliknya. Jadi saya kira menunggang isu ini untuk memberi imej yang buruk kepada kerajaan adalah modal lapuk politik pembangkang.
“Ucapan ini perlu disiasat dengan serius dan mengambil tindakan yang sewajarnya kepada Ahli Parlimen Kota Bharu,” kata beliau.
Sebelum itu di Dewan Rakyat, Takiyuddin mendakwa sekumpulan anggota APMM memasuki Masjid Rusila dengan tidak menanggalkan kasut dan melakukan penggeledahan sehingga menakutkan orang awam.
Beliau mendakwa mempunyai rakaman CCTV yang membuktikan ucapannya itu.
Beliau juga secara terbuka menyebut jika beliau berada di sana waktu itu, beliau akan “melepaskan tembakan” sekiranya berlaku ancaman dalam masjid.
Tuduhan ini perlu dipandang serius kerana Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim juga telah pun membuat kenyataan serupa di luar Dewan.
Dalam satu video dimuat naik di Facebook, beliau mendakwa APMM telah menceroboh masjid dengan membuat latihan tanpa memberikan sebarang notis.
Shahidan juga mengutuk sikap APMM yang didakwanya memasuki masjid tanpa menanggalkan kasut dan menuntut permohonan maaf dibuat.
BACA JUGA Fitnah APMM: Takiyuddin ugut tembak, hidupkan semula sentimen Memali
BACA JUGA Selepas penafian APMM, tular rakaman CCTV tunjuk tiada serbuan di Masjid Rusila
BACA JUGA Maritim Malaysia serang Masjid Rusila? Fitnah, pembohongan tanpa asas