Banjir teruk, dua daerah paling terkesan di Perak

“Baca doa yah… tolong… dah sampai ni dah!” Jeritan seorang wanita yang kedengaran dalam video berdurasi 19 saat tular. Video tersebut memaparkan detik-detik mencemaskan ketika banjir melanda kawasan perumahan di Taiping, Perak semalam.

Suara tangisan dan laungan Allahuakbar kedengaran sayup di sebalik limpahan air yang sudah mencecah paras pinggang.

Seorang lelaki kedengaran menzahirkan kegusaran terhadap keselamatan keluarganya.

“Habislah rumah aku… kesian anak aku ni… aku takut anak aku ni… Allahuakbar,” katanya.

Kejadian banjir ini berlaku akibat hujan lebat berterusan sejak petang semalam sehingga air melimpah ke kawasan kediaman.

Secara keseluruhannya, musibah banjir semakin buruk dan ini dapat dilihat dengan peningkatan jumla mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Ia meningkat kepada 1776 daripada 609 keluarga setakat 4 pagi ini.

Laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak menyenaraikan dua daerah masih terjejas iaitu Larut, Matang dan Selama (LMS) serta Manjung dengan keseluruhan 23 PPS beroperasi.

Daripada jumlah itu, daerah LMS mencatatkan bilangan mangsa tertinggi iaitu 1,413 orang daripada 502 keluarga yang ditempatkan di 20 PPS, manakala di Manjung seramai 363 mangsa daripada 107 keluarga berlindung di tiga PPS.

PS yang dibuka di daerah itu termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang, Masjid Alwusta Batu 8, Masjid Ali Rouse Ulu Sepetang serta SK Bukit Jana.

Di Manjung pula, PPS dibuka di SK Sungai Batu, Pantai Remis; SK Beruas dan Sekolah Agama Rakyat Padang Serai, Pengkalan Baru dengan kebanyakan mangsa melibatkan penduduk di Kampung Nelayan, Kampung Sungai Batu, Taman Pantai Wang serta Kampung Pulau Kabung.

MetMalaysia pula telah mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan berterusan di beberapa kawasan di Perak pada Jumaat, sekali gus dijangka meningkatkan risiko banjir di kawasan rendah.

Paras air Sungai Kurau di Batu 14, Batu Kurau dan Sungai Kerian di Selama turut dilaporkan menghampiri tahap amaran, manakala Empangan Bukit Merah menunjukkan paras air pada 8.19 meter, hampir dengan paras normal penuh 8.7 meter.

BACA JUGA: Pondok tidak berdaftar akan ditutup? Menteri Agama sifatkan tuduhan berniat jahat