Azmin dah terdesak sangat?

Mantan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan pekeliling terbaharu yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Bersatu Datuk Azmin Ali bertarikh hari ini sebagai usaha terdesak Azmin

“Pekeliling ini adalah usaha terdesak oleh Azmin Ali. Apabila tiada pengaruh dan tiada sokongan, maka yang tinggal hanyalah kuasa untuk diperguna.

“Tidak pernah dalam sejarah Bersatu ahli-ahli dihalang bertemu mereka yang dikenakan tindakan disiplin. Lagipun keputusan belum dimuktamadkan oleh Lembaga Rayuan,” kata Datuk Wan Saiful dalam satu kenyataan.

Pekeliling tersebut dirumuskan seperti berikut: “Tindakan mana-mana ahli Parti yang bersekongkol dan menyokong segelintir individu yang telah dijatuhkan hukuman oleh Lembaga Disiplin adalah nyata melanggar Perlembagaan dan Tatakelakuan Ahli Parti.”

Wan Saiful turut menyoal logik di sebalik pekeliling tersebut berdasarkan tindakan presiden Bersatu Tan Sri Mahiaddin Yassin.

“Kalau benar tak boleh bertemu mereka yang dikenakan tindakan disiplin, kenapa Azmin Ali tak sebut perkara ini kepada Tan Sri Mahiaddin semasa Tan Sri Mahiaddin sendiri bertemu Tun Mahathir dan Dato Seri Mukhriz? Bukankah mereka juga pernah gugur keahlian Bersatu akibat penguatkuasaan disiplin?

“Adakah dalam Bersatu sekarang peraturan parti tidak terpakai kepada Tan Sri Muhyiddin dan orang sekelilingnya?

“Atau adakah peraturan baru ini dikeluarkan tergesa-gesa hingga terlupa bahawa presiden sendiri melanggarnya?

Mahathir ialah mantan pengerusi Bersatu manakala Mukhriz ialah mantan timbalan presiden Bersatu.

Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor juga memegang jawatan ketua penerangan Bersatu sebelum ini.

BACA JUGA: Lewat malam WhatsApp surat pecat, Wan Saiful sindir kecekapan parti