Tegas bendung ancaman fitnah dan ekstremis, elak ganggu kestabilan negara

Kerajaan digesa mengambil langkah lebih tegas dalam mengekang ancaman ekstremisme dan penyebaran propaganda jahat yang boleh menggugat keamanan serta kestabilan politik negara.

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohd Hasbie Muda berkata, ancaman ekstremisme jika tidak dibendung dari awal boleh membawa kepada keadaan yang lebih serius dan sukar dikawal pada masa hadapan.

“Ancaman ekstremisme akan memusnahkan kestabilan politik dan menggugat keamanan negara.

“Jika ia tidak dibendung sekarang, ia akan melarat kepada keadaan yang lebih teruk,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Konvensyen Pemuda AMANAH Nasional di Semenyih, Selangor hari ini.

Hasbie turut menekankan pentingnya kerajaan memastikan keselamatan negara tidak diganggu oleh fitnah, hasutan dan manipulasi maklumat yang disebarkan melalui pelbagai platform media.

Beliau menggesa supaya usaha memperkukuh undang-undang keselamatan diperhebat, termasuk menyesuaikannya dengan bentuk ancaman baharu yang kini lebih kompleks, terutamanya dalam ruang siber dan media sosial.

“Kerajaan perlu mengambil tindakan lebih tegas supaya fitnah dan propaganda jahat tidak akan mengganggu keselamatan negara kita,” katanya.

Tambahnya, Malaysia sebelum ini pernah mempunyai peruntukan undang-undang khusus seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan beberapa akta lain yang berperanan mengekang ancaman keselamatan dalam negeri.

“Dulu kita ada ISA, kini kita ada akta-akta tertentu yang boleh digunakan untuk mengekang ancaman-ancaman itu,” kata Hasbie lagi.

BACA JUGA Hormati larangan arak di sekolah, bina budaya Malaysia yang sihat