Anwar, Trump saksi Thailand-Kemboja meterai Perjanjian Damai KL
Malaysia jadi pentas utama yang menyaksikan momen bersejarah antara Thailand dan Kemboja menandatangani Perjanjian Damai KL (KL Peace Accord) untuk menamatkan pertelingkahan dua negara.
Perjanjian damai berkenaan ditandatangani Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Manet, di luar acara Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan sidang kemuncak berkaitan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Pemeteraian itu disaksikan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi Asean dan Presiden AS, Donald Trump.
Perjanjian ini menandakan langkah rasmi kedua-dua negara menghentikan pertelingkahan serta memulihkan keamanan di kawasan sempadan yang menjadi pertikaian sebelum ini.
Menurut Bernama, perjanjian Damai KL mengukuhkan persetujuan gencatan senjata yang dicapai Bangkok dan Phnom Penh pada Julai lalu susulan rundingan di antara kedua-dua kerajaan.
Ia turut mengesahkan penubuhan pasukan pemerhati Asean (AOT) bagi memantau pematuhan dan mencegah berlakunya semula pertempuran di zon sempadan.
Perjanjian damai berkenaan menandakan detik penting dalam diplomasi serantau Asean, mencerminkan komitmen blok serantau itu terhadap pencegahan konflik, kestabilan dan kerjasama selaras dengan tema Kepengerusian Asean 2025 oleh Malaysia iaitu Keterangkuman dan Kemampanan.
Thailand dan Kemboja telah lama terjebak dalam konflik sempadan sepanjang 817 kilometer dengan ketegangan terkini terjadi pada 24 Julai lalu yang mencetuskan konfrontasi ketenteraan.
Pada 28 Julai lalu Anwar menganjurkan mesyuarat penting di antara Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai di Putrajaya. Inisiatif itu berjaya meredakan ketegangan di sempadan bersama kedua-dua negara.
Perjanjian Damai KL yang dianggap sebagai pencapaian besar Asean berjaya menghalang konflik ketenteraan daripada merebak dan memastikan keselamatan ribuan orang awam.
BACA JUGA Tokoh Maal Hijrah dinamakan calon PH DUN Sulabayan