Malaysia tekad perkukuh kerjasama ekonomi serantau – Anwar

Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Malaysia untuk memperkukuh kerjasama ekonomi serantau di bawah tema “Inclusivity and Sustainability” (Keterangkuman dan Kelestarian).

Beliau berkata, kepengerusian Malaysia hadir pada saat penting ketika rantau ini berdepan ketidaktentuan geopolitik dan cabaran ekonomi global.

“Untuk memperkukuh asas ekonomi, kita kini berdagang lebih banyak antara sesama negara, melabur antara satu sama lain, dan memperluas integrasi merentas sektor.

“Perjanjian Baharu Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) merupakan langkah penting ke hadapan,” katanya semasa merasmikan Sesi Pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Anwar turut menekankan bahawa kekuatan dan daya tahan ASEAN bergantung kepada keterbukaan termasuk aliran bebas perdagangan, modal dan pergerakan rakyat.

Beliau berkata, majlis menandatangani ASEAN-China Free Trade Area 3.0 pada 28 Oktober ini akan membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala, menggambarkan komitmen bersama terhadap perdagangan adil, transformasi digital dan tenaga lestari.

BACA JUGA Donald Trump tiba di Malaysia sempena Sidang Kemucak ASEAN ke-47