‘Jawapan Radzi Manan jatuhkan kredibiliti pejabat pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu’
Ketua Bersekutu – Bersatu Bangi K Vasantha Kumar menyifatkan kenyataan pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu Datuk Radzi Manan terhadap aduan ke atas dua pemimpin Bersekutu – Bersatu sebagai kurang bijak dan sekaligus menjatuhkan kredibiliti pejabat pengerusi Lembaga Disiplin.
“Beliau memberi jawapan sebegitu sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin dan sekaligus menjatuhkan kredibiliti sebagai Pengerusi badan penting dalam parti Bersatu.
“Datuk Radzi Manan seolah-olah melindungi mereka berdua demi sumbangan besar kepada parti? Atau ada tangan ghaib dalam membuat keputusan Lembaga Disiplin?
“Kini bola di tangan Datuk Radzi Manan sama ada mahu mengambil tindakan disiplin atau melunturkan keyakinan ahli-ahli Bersekutu,” kata Vasantha dalam satu kenyataan.
Vasantha mengulas kenyataan Radzi yang enggan mengulas berkenaan dua laporan yang telah dibuat terhadap naib ketua sayap Bersatu – Bersekutu Sanjeevan Ramakrishnan dan ketua Bersatu Bersekutu Selangor Datuk Goh Gaik Meng.
Radzi berkata urusetia parti akan menguruskan laporan tersebut pada 17 Oktober.
Kedua-dua tertuduh dikatakan mengetuai boikot terhadap ketua Bersekutu – Bersatu Datuk Chong Fatt Full ketika perhimpunan agung tahunan yang berlangsung pada 6 Sept 2025.
Sebelum itu Vasantha turut menyoal sama ada pemberian wang RM100,000 oleh Sanjeevan kepada bendahari parti menyebabkannya tidak lut dengan tindakan Lembaga Disiplin.
BACA JUGA: Pergolakan dalam Bersekutu Bersatu: Ini jawapan pengerusi Lembaga Disiplin
dan Bersekutu Bersatu pula bergolak: RM100,000 cukup untuk hentikan tindakan Lembaga Disiplin?