Kelab Penyokong Kerajaan desak Takiyuddin tarik balik tuduhan, mohon maaf dalam Dewan
Kelab Penyokong Kerajaan (Backbenchers Club – BBC) menggesa Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menarik balik tuduhan beliau terhadap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan membuat permohonan maaf kepada Dewan Rakyat.
Dalam sidang media di Parlimen hari ini, Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat berkata, mereka telah megusulkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk mengarahkan pemimpin pembangkang itu menarik balik tuduhannya di dalam Dewan.
“Sekiranya perkara ini tidak ditangani sewajarnya, saya mencadangkan agar perkara ini dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk siasatan lanjut selaras dengan Peraturan 36 (12), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
“Pendekatan ini diambil dengan mengambil kira keperluan menegakkan prinsip pertanggungjawaban dalam Parlimen, di samping memelihara keharmonian dan sensitiviti politik semasa,” katanya.
Suhaizan berkata, dakwaan Takiyuddin bahawa sekumpulan anggota APMM menyerbu dan menggeledah Masjid Rusila pada September lalu bercanggah dengan kenyataan rasmi APMM sendiri.
Pengarah APMM sebelum ini menjelaskan bahawa anggota mereka hanya berhenti untuk menunaikan solat Asar, beritiktikaf dan berehat sebentar.
Malah Jawatankuasa Masjid juga telah dimaklumkan lebih awal dan tiada gangguan dilakukan kepada jemaah.
Suhaizan berkata, tuduhan Takiyuddin itu mengandungi implikasi yang sangat serius, seolah-olah mengaitkan APMM melakukan serangan kepada masjid dan mengakibatkan kecelakaan serta bertindak dengan melampau di dalam masjid tanpa sebarang asas atau bukti kukuh.
“Ini juga akan mengganggu-gugat keharmonian dan kesejahteraan negara.
“Pada hemat saya kenyataan sedemikian adalah tidak wajar dan boleh menjejaskan maruah serta integriti Dewan yang mulia ini,” ujar beliau.
BACA JUGA Malaysia negara yang hebat, sangat bertenaga, kata Trump